KUALA LUMPUR: Pelakon, Redza Rosli, mengakui, dia tidak pernah meletakkan status bercinta sewaktu mendekati Bella Hanna kerana sudah terpaut hati untuk terus menjadikan aktres tersebut sebagai isteri.
Menurut Redza, dia nekad melamar Bella setelah memberanikan diri mengajak pelakon wanita tersebut keluar makan bersama sekitar dua bulan lalu.
“Sebenarnya, kami berdua sudah lama kenal, tiada tunang, terus nikah. Kami pun tak pernah isytihar kami bercinta sepanjang saya mendekati dirinya sebelum ini. Satu hari saya ajak dia pergi makan tapi waktu itu niat saya sudah lain.
“Saya terus ajak dia pergi beli cincin dan pada waktu itulah kami meluahkan perasaan di antara satu sama lain.
“Insya-Allah saya yakin Farhana Nabila (Bella) terbaik untuk saya,” katanya.
Redza berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus selesai majlis pernikahannya bersama Bella di Forest Valley, Cheras,semalam.
Redza sah bergelar suami kepada Bella atau Farhana Nabila Rosman, 28, dengan sekali lafaz dan pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Rosman Abdullah.
Dalam pada itu, Redza mengakui dia sebenarnya tidak gemar keluar temu janji secara berdua-duaan dengan Bella yang juga hos program Hlive itu.
Bagaimanapun jika keluar bersama dia akan memastikan melaporkan semua gerak geri mereka kepada bapa Bella.
“Saya tidak suka temu janji berdua-duaan, selalunya saya terus ke rumah mak ayah dia minta izin.
“Walaupun ajak pergi makan berdekatan kawasan rumah pun saya akan minta izin dan restu. Saya sendiri akan maklumkan pada ayahnya ke mana kami pergi setiap masa,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perancangan bulan madu, Redza berhajat membawa isterinya menunaikan umrah apabila urusan kerja selesai.
Manakala mengenai soal zuriat, dia menyerahkan perkara itu kepada rezeki yang Allah SWT sudah tentukan.
“Perancangan bulan madu buat masa sekarang tak sempat sebab jadual kerja saya yang padat.
“Saya buat persiapan pernikahan ini pun ketika sibuk menjalani penggambaran malah kursus kahwin pun saya pergi masa cuti bulan lalu.
“Insya-Allah saya nak bawa isteri tunai umrah sebab kena berterima kasih pada Allah yang memudahkan urusan pernikahan kami dan anak kami serahkan pada rezeki,” katanya. – UTUSAN