JAKARTA: Suami kepada penyanyi, Bunga Citra Lestari, Tiko Aryawardhana, didakwa terlibat jenayah penyelewengan wang syarikat makanan dan minuman bernilai RM 1.7 juta.
Dalam satu laporan polis yang dibuat oleh bekas isterinya, Arina Winarto, Tiko dikatakan melakukan perkara itu antara tahun 2015 hingga 2021.
“Saat ini kes masih dalam siasatan, sekarang kami sedang mengumpul bukti dan melakukan siasatan menyeluruh,” kata polis Jakarta Selatan, AKBP Bintoro kepada media tempatan.
Dalam pada itu, peguam Arina, Leo Siregar mengatakan ketika penyelewengan berlaku, Tiko merupakan pengarah urusan syarikat itu sementara Arina bertindak sebagai pengeluar modal dan pemegang saham terbesar.
“Tiko memiliki kuasa penuh menguruskan syarikat termasuklah kewangan. Bagaimanapun pada tahun 2019, Tiko menyatakan hasrat menutup syarikat dengan alasan tidak mampu membayar sewa.
“Arina mula mengenal pasti dokumen untung rugi yang mencurigakan dan mula melakukan siasatan. Dia kemudian membuat laporan bahawa dokumen itu telah dimanipulasi. Selepas melakukan audit, Arina mendapati dana sebanyak RM1.7 juta telah digunakan,” kata peguam itu dalam satu kenyataan akhbar.
Terdahulu, Tiko dan Arina berkahwin pada 2014 sebelum bercerai pada Oktober 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak.
Tiko kemudian berkahwin dengan penyanyi Badai Telah Berlalu itu pada Disember tahun lalu.