KUALA LUMPUR : Komposer dan vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam, tidak menolak timbul rasa ralat apabila persembahan konsert Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur yang diadakan di Zepp KL Sabtu lalu tidak disertai anggota asal kumpulan terbabit.
Bagaimanapun, kata Tam, keadaan itu tidak harus dijadikan satu beban kerana keutamaan tetap kepada usaha untuk meneruskan perjuangan Spider.
“Saya tak rasa kosong. Cuma tidak dinafikan ada ralatnya kerana anggota-anggota asal iaitu Allahyarham Tony dan juga Nafie tidak dapat meneruskan perjuangan ini.
“Nafie dalam keadaan tidak berapa sihat dan setelah berbincang lebih awal, kami sepakat untuk meneruskan konsert ini tanpanya kerana keadaannya sangat tidak mengizinkan. Dia perlu berehat untuk satu tempoh yang lama.
“Meskipun tanpa mereka, konsert ini bagi saya harus berjalan demi menghargai peminat yanh telah menunggu hampir dua dekad untuk menyaksikan kami beraksi,”katanya.
Tam berkata demikian ketika ditemui usai konsert berlangsung Sabtu lalu.
Sementara itu, ditanya mengapa baharu kini berkesempatan mengadakan konsert sehingga membuatkan ramai kalangan peminat tertunggu-tunggu, Tam tampil dengan jawapan ini.
“Saya percaya, setiap orang ada masa-masa tertentu. Ini adalah masa yang tepat untuk Spider melakukan konsert ini.
“Melihat kepada sambutan konsert ini, tidak dinafikan, rasa gembira, bersyukur semuanya bercampur baur kerana ada kalangannya merupakan peminat generasi muda.
“Kalau ada rezeki, Insya-Allah, kami akan jadikan konsert Keluar Sarang ini sebagai konsert jelajah.
“Kami juga rancang jika ada rezeki buat konsert rai ulang tahun Spider suatu hari nanti, kami akan buat segmen tribute kepada individu-individu penting yang ada dengan kami selama ini,”katanya.
Sementara itu, konsert Keluar Sarang anjuran IFIX Entertainment itu menyaksikan tempat Napie sebagai gitaris diganti oleh Pown manakala Iss mengambil alih tempat Allahyarham Tony sebagai pemain bass dan Aie kekal sebagai pemain dram.
Sepanjang dua jam beraksi, Spider ditubuhkan pada 1996 itu menghiburkan penonton menerusi 21 lagu dan menghiburkan seramai 2,400 peminat yang membanjiri ruang Zepp Kuala Lumpur.
Antara lagu dinyanyikan termasuklah Ajaib, Anto Graviti, Laukku Cukup Masin, Telinga Ke Tulang, Mabuk, Cinta Dewa Dewi, Kasih Latifah, Kacap Terlabik dan Aladdin sebelum menutup tirai dengan lagu Bila Nak Saksi.