KUALA LUMPUR: Enggan berdiam diri, pelakon, Puteri Sarah Liyana mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna Facebook yang menuduhnya melakukan maksiat atau bersekedudukan baru-baru ini.
Jelas Puteri Sarah, dia sudah meminta peguamnya untuk menghantar Letter Of Demand (LOD) kepada individu berkenaan yang difahamkan sudah menukar nama dan gambar profil di akaun media sosial miliknya.
“Sebenarnya, saya mahu tindakan ini memberi pengajaran kepada individu itu termasuk segelintir warganet lelaki supaya jangan terlalu melampau atau berdendam atas kejadian yang sudah terjadi setahun lalu.
“Soalnya, bukannya saya bercerai dengan anda pun kan? Urusan saya dan bekas suami sudah lama selesai. Saya tak faham mengapa masih ada segelintir warganet yang tak puas hati dengan saya?
“Tak perlu nak sindir atau tak puas hati tak tentu pasal. Kalau nak komen itu biarlah berhemah, jangan tiba-tiba nak hentam saya. Kadang mereka ini lupa diri bila meninggalkan komen,” katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada dua anak itu juga hairan dengan segelintir pengguna media sosial terutama lelaki yang dengan mudah meninggal komen berbaur sinis seolah-olah berdendam denganya.
“Baru-baru ini ada keluar artikel pasal bekas suami dan isterinya. Saya tidak ambil peduli tetapi ada segelintir warganet terutama lelaki yang seolah-olah tersakiti dan berdendam dengan saya.
“Masih ada pengguna media sosial yang sengaja mengaitkan nama saya sedangkan sudah setahun daya bercerai. Saya pun sudah teruskan hidup macam biasa. Tak perlu kaitkan saya dengan mereka lagi.
“Kalau komen biasa, saya boleh pejam mata buat tak tahu. Tetapi kalau sampai ada yang menuduh saya bermaksiat, itu tidak boleh diterima. Tuduhan itu agak melampau walaupun datang dari akaun palsu,” ujarnya.
Sebelum ini, pelakon terbabit sudah mengheret beberapa individu ke mahkamah atas dakwaan fitnah termasuk seorang wanita membabitkan saman mencecah RM1 juta.