KUALA LUMPUR : Terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian, penyanyi dan usahawan selebriti, Fitri Haris, mendedahkan dirinya berputih mata apabila wang berjumlah RM2,000 lesap dikebas seorang lelaki yang menyamar sebagai sahabatnya, anggota kumpulan Rabbani, Azadan.
Menurut Fitri atau Mohamad Fitri Mohamad Haris, 40, dia menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada Azadan yang ingin meminjam wang sebanyak RM2,000.
Tambahnya, kiriman mesej tersebut kelihatan sangat menyakinkan dan tanpa berfikir panjang, dia terus memindahkan wang seperti diminta.
“Saya dapat mesej daripada Azadan menerusi WhatsApp mengatakan ingin meminjam duit kerana gagal membuat transaksi akibat sudah melebihi had.
“Atas alasan tertentu jadi dia ingin meminjam wang sebanyak RM2,000. Memandangkan saya memahami Azadan yang aktif dalam aktiviti pengurusan acara, jadi tanpa berfikir panjang saya berikan wang tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jelas Fitri, dia mula menyedari hantaran Whatsapp itu merupakan satu penipuan apabila ‘Azadan’ sekali lagi meminta wang sebanyak RM3,000 selepas transaksi pertama selesai.
“Selepas RM2,000, dia minta untuk pinjam lagi RM3,000. Waktu itu saya mula syak ada yang tidak kena dan ternyata ada orang cuba menyamar jadi Azadan.
“Saya segera menghubungi Azadan yang sebenar untuk dapatkan pengesahan dan ternyata dia sudah menjadi mangsa penipuan penggodam,”katanya.
Dalam pada itu, Fitri menasihatkan semua pihak terutama pengguna supaya berhati-hati apabila menerima mesej daripada mana-mana pihak yang secara tiba-tiba mahu meminjam wang.
“Saya nasihatkan kepada rakan-rakan yang menerima kiriman mesej meminjam wang tidak kira daripada sesiapa pun agar lebih berhati-hati.
“Tetapi, saya tidak yakin untuk mendapatkan semula duit itu. Saya mendoakan semoga individu itu terbuka hatinya dan saya hanya bersangka baik mungkin dia memang dalam kesusahan.
“Semoga Allah menggantikan dengan yang lebih baik. Jika bukan dengan wang ringgit, dikurniakan anak yang soleh dan solehah serta isteri yang solehah, insya-Allah,” katanya.