PETALING JAYA: Penyanyi, Aziz Harun, tidak menafikan ada segelintir pemuzik yang mempunyai stigma negatif terhadap lagu yang tular di aplikasi TikTok.
Walau bagaimanapun, penyanyi Senyum itu menghormati pendapat penyanyi yang merasakan pengguna di aplikasi tersebut bukanlah sasaran pendengar mereka.
“Memang ada berpendapat muzik yang terkenal kerana tukar di TikTok sebagai biasa-biasa sahaja. Seperti ada kasta dalam muzik.
“Tapi saya seorang pencinta muzik, saya dengar semua lagu tidak kiralah di platform mana sekalipun.
“Saya tidak bersetuju kepada orang yang hanya merasakan muziknya sahaja paling bagus dan tidak menghormati selera muzik orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, jejaka asal Brunei itu turut berpendapat golongan yang skeptikal terhadap muzik viral mungkin tidak cukup yakin lagu yang mereka hasilkan boleh memberikan impak di media sosial.
“Mungkin juga mereka tidak berkongsi karya mereka di TikTok kerana ragu sekiranya lagu itu tidak boleh ‘pergi’. Sedangkan ramai yang akan dengar lagu mereka di sana dan siapa tahu, lebih meletup daripada apa yang disangka.
“Apapun, jika mereka sombong dan tidak mahu berkongsi lagu dengan sesiapa, terpulang kepada mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Ketipak Ketipung Raya yang tular di empat negara itu juga menegaskan bukan mudah untuk bersaing dengan lambakan artis yang muncul dari aplikasi itu.
“Apa yang mencabar tentang aplikasi TikTok, semua orang boleh hasilkan banyak lagu dan kebanyakannya memang bagus.
“Di aplikasi itu, kita tiada muzik yang spesifik untuk menjadi trend baik lagu galau, tangkap leleh, hip hop dan pop. Semuanya ada potensi menjadi tular.
“Generasi hari ini juga sudah terbuka dengan pelbagai muzik daripada banyak negara dan tempat. Jadi kita perlu hasilkan lagu dengan muzik yang lebih segar berbanding dengan apa yang sedia ada.
“Apapun kelebihannya, kita lebih senang untuk berkomunikasi dengan pemuzik lain. Ruang untuk berkolaborasi lebih baik,” katanya.