KUALA LUMPUR : Penulis buku, Jonathan dan Farel Mikhail, menafikan mahu menggunakan nama atau mengeksploitasi populariti usahawan terkenal Kak KM demi melariskan buku Pesona Kebaya yang dihasilkan mereka.
Menurut Jonathan, kehadiran selebriti sensasi itu ke majlis pelancaran buku tersebut adalah sebagai tetamu jemputan dan atas dasar persahabatan yang telah lama terjalin.
“Terkejut juga apabila ada yang menuduh kami sengaja menjemput Kak KM kerana mahu menggunakan kisah sensasinya bagi melariskan buku Pesona Kebaya.
“Ada yang cakap, seolah-olah kami mahu menumpang popularitinya dan mempunyai niat tertentu.
“Sejujurnya kami tiada niat nak menggunakan nama Kak KM atau selebriti-selebriti lain yang hadir. Kami sudah anggap mereka seperti kakak dan tiada langsung niat mahu mempergunakan mereka untuk menjual buku ini.
“Kami menjemput Kak KM atas dasar persahabatan memandangkan pernah bekerjasama dengan beliau sebelum ini. Lagi pun, inilah masanya untuk berkongsi hari bermakna kami setelah lama impian mahu muncul dengan Pesona Kebaya akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Jonathan berkata demikian ketika majlis pelancaran buku Pesona Kebaya terbitan FM Group di Pavilion Damansara Heights, baru-baru ini.
Lebih istimewa, Kak KM turut menggayakan baju kebaya rekaan Jonathan dan Farel Mikhail.
Sementara itu, Jonathan juga meluahkan rasa syukurnya apabila pengusaha jamu itu sudi menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis pelancaran buku tersebut.
“Apabila saya buka saja mulut menjemput ke majlis ini, Kak KM terus menyatakan persetujuan kerana menyokong usaha kami untuk memartabatkan baju kebaya.
“Iyalah, mungkin tidak ramai orang muda seperti kami yang mahu memartabatkan baju kebaya yang menjadi warisan budaya Malaysia.
“Bagi kami, anak-anak muda memainkan peranan penting dalam meneruskan budaya turun temurun nenek moyang kita.
“Saya harap buku Pesona Kebaya ini mendapat sambutan ramai kerana ia berkenaan budaya kita. Siapa lagi mahu berbangga dengan budaya kita kalau bukan kita sendiri,” ujarnya.
Selain itu, selebriti lain yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran buku Pesona Kebaya ini ialah adik kepada penyanyi nombor satu negara, iaitu Siti Saerah, Puan Seri Syazara Aisha, Datuk Rozzana Rahmat dan Hanim Fariza.
Dalam pada itu, Malaysia bersama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand telah menyerahkan pencalonan bersama bagi pakaian tradisional kebaya ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity bagi tahun 2023.
Ini kerana, kebaya merupakan pakaian yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Baba Nyonya, Chetti & Jawi) dan lain-lain masyarakat di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.
Disebabkan faktor ini, ia menjadi pilihan buat Jonathan dan Farel untuk menghasilkan buku Pesona Kebaya yang didaftarkan dengan nombor ISBN ini.
“Ada yang bertanya, kenapa memilih kebaya sedangkan banyak lagi pakaian tradisional lain yang boleh dijadikan buku. Ini kerana, kebaya mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri selain merupakan warisan budaya kita yang harus kita hargai.
“Kami nak masyarakat tahu kebaya di Malaysia bukan hanya Kebaya Nyonya dan Kebaya pramugari, sebenarnya ada sepuluh lagi jenis kebaya yang kita patut tahu dan perlu diketengahkan.Antara kebaya yang saya maksudkan adalah kebaya Perlis, Pahang, Johor-Riau, Kota Bharu dan banyak lagi. Semuanya kebaya tetapi ada perbezaan dan kelebihan tersendiri yang kita semua harus tahu.
“Selain itu, buku ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang fesyen atau sesiapa sahaja yang meminati fesyen. Mereka boleh melihat perbezaan seperti pola dan cara jahitannya,” ujarnya.
Jonathan juga mengaku rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mempromosi baju kebaya dalam dan luar negara. Mereka juga mendapat sokongan daripada Jabatan Warisan Negara & Kolej Komuniti Selayang.