PDRM buat saringan sebelum pelakon bawa watak polis - Yusof Haslam - Utusan Malaysia

PDRM buat saringan sebelum pelakon bawa watak polis – Yusof Haslam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah terkemuka tanah air, Datuk Yusof Haslam, tidak menolak bahawa setiap pelakon yang tersenarai membintangi sesebuah drama berbentuk kepolisan akan disaring oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu sebelum memasuki set penggambaran.

Menurut Yusof, ia adalah antara syarat yang telah ditetapkan PRDM sebagai prosedur bagi menjaga reputasi badan beruniform tersebut.

Bagaimanapun, bagi Yusof, perkara itu bukanlah satu bebanan kepada syarikat produksi apalagi Skop Productions juga telah puluhan tahun menjalin kerjasama dan membantu mengangkat sama martabat pasukan PDRM di layar perak.

“Perkara ini memang benar iaitu sesiapa sahaja yang mahu buat cerita mengenai anggota polis, dia kena patuhi syarat diletakkan. Sebelum penggambaran, syarikat produksi kena hantar gambar dan profil pelakon ke Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman untuk dinilai.

“Prosedur ini bukan baru dilaksanakan, sebaliknya sejak zaman saya arahkan drama Gerak Khas. Bagi saya, prosedur ini adalah biasa dan bagus.

“Sebelum ini, ramai pelakon-pelakon yang membintangi drama atau filem saya jalani proses yang sama. Tak ada masalah,”katanya.

Yusof berkata demikian semasa ditemui di sidang media drama Polis Peronda di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kongsi Yusof lagi, dia yakin syarat yang ditetapkan pihak PDRM tersebut adalah bagi mengelak perkara berbangkit.

“Saya masih ingat, semasa saya hasilkan Gerak Khas lebih sedekad lalu, ada pelakon yang memegang watak pembantu ditolak gara-gara mempunyai rekod jenayah.

“Pihak polis ada data mereka dan disebabkan itu, mereka boleh tahu latar belakang seseorang artis.
Pernah juga berlaku pelakon terpaksa digugurkan walaupun sedang beraksi kerana terbabit dengan kes jenayah atau kes mahkamah atas nasihat polis.

“PDRM tidak mahu perbuatan mereka itu memberi implikasi kepada mereka. Disebabkan itu, mereka perlu pastikan setiap pelakon ada rekod bersih, termasuk tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia masih lagi akan meneruskan naskhah filem atau drama bercorak kepolisan pada masa akan datang, Yusof memberitahu ia merupakan satu daripada sumbangan kecil yang termampu dilakukannya bagi menghormati dan menghargai jasa baik PDRM.

“Saya tetap akan terus menghasilkan naskhah seperti ini. Dalam konteks bisnes, memang saya tak akan buat. Tetapi ini soal jiwa.

“Ini peranan Skop Productions dan saya ingin lihat kami jadi perintis dalam menerbitkan drama kepolisan.

“Orang kata saya buat duit guna cerita polis, sebenarnya tidak juga. Ini adalah sumbangan kami buat PDRM,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya