Nostalgia zaman persekolahan, Axiata gamat bersama Melly Goeslaw - Utusan Malaysia

Nostalgia zaman persekolahan, Axiata gamat bersama Melly Goeslaw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL : Mengotakan janjinya untuk kembali ke Malaysia bersama sebuah acara konsert berskala besar, penyanyi dan komposer terkemuka Indonesia, Melly Goeslaw, berjaya memukau hampir 10,000 penonton yang hadir meraikan Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends, semalam.

Bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, konsert tersebut juga antara yang dinanti ramai peminatnya kerana mewajibkan mereka yang hadir untuk menggayakan pakaian sekolah dengan tema malam graduasi.

Konsert yang berlangsung sekitar dua jam 30 minit itu menyaksikan Melly membawakan 29 buah lagu dengan penuh tenaga di samping kemunculan istimewa bintang rap popular Joe Flizzow menyanyikan lagu Jika duet bersama Melly.

Antara lagu yang dipersembahkan pada malam itu ialah Tak Tahan Lagi, Ingin Mencintai Dan Dicintai, Gantung, Suara Hati Seorang Kekasih dan Let’s Dance Together.

Melly turut menyanyikan beberapa lagu yang dipopularkan oleh beberapa selebriti lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza (Biarlah Rahsia), Datuk Rossa (Ayat-Ayat Cinta), Menghitung Hari (Kris Dayanti), Pencinta Wanita (Irwansyah), Sampai Menutup Mata (Acha Septriasa) dan Jangan Pernah Berubah (Marcell).

Antara segmen yang menyentuh hati penonton adalah menerusi dedikasi khas penyanyi ini terhadap rakyat Palestin yang mendapat respons dan interaksi baik daripada seisi dewan.

Malah, Melly juga mempamerkan kehebatan menghasilkan lagu dengan hanya memerlukan masa 15 minit menulis lirik lagu secara spontan di pentas bersama dua penonton bertuah yang dipanggil naik ke pentas.

“Kita boleh meraikan konsert dan boleh berhibur, tapi kena sentiasa ingat akan situasi yang berlaku di Palestin.

“Lagu ini saya hibahkan kepada sesiapa sahaja di sini yang ingin menggunakannya. Kalau ada yang nak gunakannya, saya dan dua penonton yang hasilkannya hadiahkan dengan ikhlas,” katanya.

Dalam pada itu, Melly turut menyuarakan solidariti terhadap Palestin dengan mengatakan individu itu tidak perlu seagama Islam untuk mempamerkan sokongan kepada Palestin.

“Tidak mengira sama anda seorang yang beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa agama sekalipun, tidak perlu menjadi bangsa negara Malaysia, Indonesia atau apa saja.

“Tapi yang utama adalah kita perlu menjadi manusia dan melihat dari sudut kemanusiaan,”katanya.

Dalam pada itu, rata-rata peminat dilihat pulang dengan penuh senyuman setelah ‘tamat’ malam graduasi bersama Melly menerusi konsert anjuran AKE Group dan Icon Entertainment itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya