KUALA LUMPUR : Meskipun kini tidak lagi bergelar suami isteri, pelakon, Nora Danish, dilihat tidak mempunyai masalah untuk menziarahi bekas suaminya, Nedim Nazri yang kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan di ibu negara.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Nora dilihat berbuat demikian bagi memberi sokongan kepada Nedim yang juga bapa kepada anaknya, Mohamed Neyqal yang kini berusia enam tahun.
“Stay strong daddy (terus kuat daddy),” tulisnya menerusi Instagram Story yang berlatarbelakangkan foto ahli perniagaan itu.
Sementara itu, Nedim di Instagramnya juga berkongsi sekeping foto yang menunjukkan dirinya terlantar di atas katil hospital.
Menerusi ruangan kapsyen, Nedim hanya menulis ringkas tanpa menyatakan sebab dan punca dia dimasukkan ke hospital tersebut.
“Sudah berumur 41 tahun dan saya kini dalam hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU),”katanya.
Terdahulu, Nora dan Nedim bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Sebelum itu pada 29 April lalu, aktres tersebut mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak.
Nora mengaku dia dan Nedim berusaha mengekalkan hubungan sebaik mungkin agar tidak terjadi perkara negatif yang boleh memberi kesan kepada anak mereka.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl.
Nora juga pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.