KUALA LUMPUR : Gara-gara memegang watak sebagai seorang perempuan berpenampilan ‘tomboi’ dalam drama Aku Bukan Ustazah, pelakon, Shaza Bae, mendakwa dirinya menerima banyak mesej pujian daripada golongan wanita.
Memegang watak sebagai Sam, kata Shaza, dia mengakui sangat terkejut menerima respons begitu selain tidak menyangka ramai dapat menerima dia membawakan watak seorang tomboi.
“Pada awalnya saya hanya menganggap ia sekadar pujian daripada peminat sahaja. Tetapi, setelah beberapa hari drama itu ditayangkan, saya mula sedar kebanyakan mereka yang memuji itu adalah daripada golongan wanita sahaja.
“Ada yang menghantar mesej menerusi akaun Instagram dan memberitahu saya terlalu kacak walaupun saya seorang wanita.
“Tak kurang juga, ada wanita yang mendakwa diri mereka ‘cair’ setiap kali melihat watak Sam ditayangkan dalam drama itu,” katanya.
Bagaimanapun, Shaza hanya menganggap ia hanyalah sebagai satu pujian sahaja dan tidak mengambil perkara tersebut sebagai satu perkara yang serius.
“Sejujurnya saya kurang melayan komen-komen yang mengundang ke arah minat sejenis dan hanya memberi ‘like’.
“Jika sempat, saya akan membalas komen mereka dan memberitahu itu hanyalah watak sahaja. Saya mengharapkan mereka tidak akan kecewa jika berjumpa saya secara bersemuka kerana saya adalah orang berbeza dengan watak itu,” jelasnya.
Shaza berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-40 TV3 di Muzium Telekom, sabtu lalu.
Aku Bukan Ustazah merupakan drama televisyen Malaysia 2024 arahan Idora Abdul Rahman dan dibintangi oleh pelakon terkenal seperti MK K-Clique, Erysha Emyra, Zahiril Adzim dan Shaza Bae, mula ditayangkan pada 3 Mei 2024.
Drama ini bukan hanya mengisahkan percintaan semata-mata, malah menceritakan realiti kehidupan manusia yang ingin berhijrah ke jalan Allah.