Muak dengan sikap 'plastik' artis tentang isu Palestin - Ramona Zam Zam - Utusan Malaysia

Muak dengan sikap ‘plastik’ artis tentang isu Palestin – Ramona Zam Zam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Ramona Zam Zam mengaku sudah muak dengan sikap segelintir rakan artis yang bersifat ‘plastik’ apabila membuat perkongsian mengenai isu Palestin di media sosial masing-masing.

Akui Ramona, disebabkan itu dia telah memuat naik satu hantaran di Instagram Story dan menyelar tindakan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, dia tidak menganggap tindakannya itu sebagai satu perkara yang harus dikesalkan berikutan berpendapat, siapa yang terasa seharusnya sedar akan perbuatan mereka.

“Saya tidak tujukan kepada sesiapa status itu. Kalau ada sesiapa terasa, saya tidak boleh cakap apa-apa dan teruskanlah dengan perasaan itu.

“Bagi saya, siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas. Tetapi, setakat ini, tiada siapa jumpa saya berhubung hantaran itu.

“Saya muak dan bosan dengan sikap mereka yang ‘play safe’ iaitu mengambil jalan neutral. Adalah tidak adil apabila mereka sokong Palestin dan pada masa sama, berpihak kepada Israel.

“Apabila sudah kena boikot, barulah nak cakap pasal Palestin. Saya faham dalam industri seni, ramai yang berpura-pura.

“Tetapi apabila bercakap pasal kemanusiaan, bayi yang dibunuh dan kekejaman yang berlaku di Palestin, kita kena lebih tegas dengan pendirian kita, apatah lagi, kita artis Melayu dan beragama Islam. Tak akanlah kita tidak mahu sokong saudara seagama kita,” katanya.

Ramona berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri bercorak kepolisan, Polis Peronda di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, kelmarin.

Selain Ramona, drama terbitan Skop Productions itu dibintangi Shah Iskandar, Puteri Sarah Liyana, Raja Afiq, Soffwany Yusof dan ramai lagi.

Ramona berkata, sebagai isteri kepada warga Palestin, dia tahu lebih mendalam mengenai konflik yang berlaku di negara itu.

“Kesan isu Israel-Palestin ini sangat kuat dalam diri saya. Saya sudah berkahwin selama sembilan tahun. Sepanjang tempoh itu, macam-macam cerita saya dengar daripada suami dan keluarganya.

“Mereka melaluinya sudah lama, iaitu sebelum insiden 7 Oktober lalu. Impaknya sangat kuat dalam diri saya,” luah pelakon filem KL Special Force ini.

Kecewa dengan apa yang berlaku, Ramona berharap selebriti dapat memanfaatkan pengaruh mereka dalam isu yang meraih perhatian antarabangsa itu.

“Tidak terfikir langsung pada 2023 akan berlaku perkara seperti ini. Lebih menyedihkan tiada siapa yang berjaya menolong mereka.

“Selebriti ada pengaruh yang besar dan ramai pengikut. Takkanlah mereka tidak mampu beri sumbangan melalui platform media sosial mereka, ” katanya.

Sebelum ini, kira-kira 20 selebriti tanah air dinamakan dalam gerakan Blackout 2024 selepas didakwa masih menjalin kerjasama dengan jenama penyokong Israel.

Antara selebriti Malaysia yang disenaraikan adalah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Daiyan Trisya, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari. Susulan itu, netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya