KUALA LUMPUR: Selebriti media sosial, Dahlia Rizal, mengakui ada menaruh minat dalam dunia lakonan selain didatangi beberapa pihak khususnya orang produksi yang mahu menawarkannya peluang tersebut.
Bagaimanapun, kata isteri kepada pelakon dan penyampai radio, Imran Aqil ini, dia belum merasakan masa yang sesuai memandangkan suaminya juga tidak begitu menggalakkan.
“Kalau suami beri izin untuk saya berlakon, saya akan katakan ya, saya akan mencuba tapi buat masa ini dia tidak menggalakkan saya berlakon. Saya pun tak pasti mengapa.
“Tapi kalau dengan dia, ya boleh. Dia kata kalau nak berlakon mungkin tidak dengan hero-hero atau drama cinta.
“Sebenarnya, saya bukan tak minat tapi selalunya saya berlakon untuk jenama-jenama mereka macam tak mengapalah sebab saya tak boleh hafal skrip. Akhirnya mereka buat kandungan lain dan kandungan saya yang bercakap panjang ke sebagainya, memang tiada,” katanya.
Pada masa yang sama, kata Dahlia, dia belum begitu berani untuk turun padang ke set penggambaran untuk menggalas tugas sebagai pelakon kerana tahu tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam bidang tersebut.
“Saya tahu saya boleh cuba hafal skrip, tapi saya juga tak mahu pengarah rimas dengan saya, jadi lebih baik tap payahlah. Imran pernah cerita, dia kena marah jadi saya rasa, tak mengapalah,”katanya.
Sementara itu, Dahlia turut menitipkan nasihat buat anak-anak muda yang mahu menjadi pempengaruh supaya bijak menilai sesuatu bahan kandungan sebelum membuat sebarang perkongsian.
“Saya tak kata saya cukup bagus nak bagi nasihat, tapi untuk mereka yang nak menjadi pempengaruh atau pencipta bahan kandungan, saya nasihat untuk berfikir dulu sebelum memuat naik apa-apa atau komen apa-apa atau kongsi kandungan apa-apa. Yang penting, habiskan belajar dahulu.
“Saya juga harap anda semua boleh kongsi benda yang betul-betul anda suka. Dulu saya macam anda juga nak duit cepat, dan bila saya makin berusia sekarang, saya fikir ia adalah satu benda yang salah.
“Bila anda ada audiens yang ramai lebih baik anda kongsi sesuatu yang betul. Anda mungkin berjaya di dunia ini tapi akhirat nanti tak tahu bagaimana, saya takut,” katanya.
Dahlia berkata kesedaran itu timbul selepas dia menghadiri majlis ilmu bersama Pencetus Ummah (PU) Azman yang bercakap mengenai topik ‘influencing’ yang berkait rapat dengan dirinya.
“Dia pesan, bertaubat dan padam mana-mana video yang saya rasa tak jujur atau berlebih-lebihan. Dulu saya ambil saja barang dan bila saya suka saya terus rebiu. Tetapi sekarang saya ambil masa dulu, malah saya juga akan memberikan komen yang jujur.
“Bila ustaz berpesan sebegitu, saya takut dan fikir memang betul. Saya tidak mahu tanggung dosa dan takut di akhirat nanti. Dalam kelas agama itu, ustaz mengatakan saya akan mendapat dosa besar jika menipu dalam membuat rebiu.
“Contoh jika sesuatu produk itu tidak bagus atau makanan tidak sedap, tetapi saya menipu kata bagus. Bayangkan jika 100,000 orang yang beli produk atau makanan itu hanya kerana melihat ulasan yang saya lakukan.
“Saya akan mendapat dosa besar daripada setiap orang yang beli kerana saya. Dulu semasa muda tidak berfikir panjang dan kejar duit sahaja, sekarang saya sedar tanggungjawab seorang pempengaruh sangat besar,” katanya yang dilantik sebagai duta terbaharu produk makanan kesihatan K-Colly baru-baru ini.
Berbicara pelantikannya sebagai duta K-Colly, Dahlia mendedahkan dia mencuba sendiri produk tersebut selama hampir dua bulan sebelum membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan jenama popular itu.