KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti media sosial, Amelia Christie, mengakui, setelah berpisah dengan bekas kekasihnya, aktor, Sharnaaz Ahmad, dia masih belum terfikir untuk menjalin hubungan cinta yang baharu dengan mana-mana lelaki lain.
Menurut Amelia, dia selesa berstatus solo pada waktu ini dan mahu memberi tumpuan kepada hidup dan kerjayanya.
“Soalan yang banyak juga orang tanya pada saya ini. Tidak, saya tidak ada teman lelaki buat masa ini. Saya tak mahu pun. Saya masih single dan tak terfikir pun mahu jalin hubungan cinta dengan sesiapa,”katanya.
Amelia berkata demikian sewaktu memberi respons kepada pengikutnya yang membuat pertanyaan di Instagram, semalam.
Selain itu, Amelia turut berkongsi luahan bagaimana dia cuba mengubati hati yang luka kerana cinta menerusi platform yang sama.
Menurut Amelia, untuk meneruskan kehidupan selepas berpisah, seseorang itu perlu melakukannya mengikut cara masing-masing dan tiada tempoh masa yang tertentu.
“Untuk teruskan ianya mengambil masa dan ia akan menjadi sukar jika berada di dalam keadaan yang tergesa-gesa.
“Tiada jadual masa yang pasti untuk mengatasi fasa perpisahan, jadi terpulang kepada awak untuk beri diri awak masa yang awak perlukan.
“Ikutlah diri awak sendiri dan jangan biarkan orang lain beritahu awak bila masanya untuk ‘move on’. Itu adalah hati awak dan awak lebih mengenali diri awak sendiri,”katanya.
Selain itu, aktres berusia 24 tahun ini juga mengakui, selepas melalui fasa perpisahan semestinya sukar untuk mengawal emosi.
Bagaimanapun, dia mengingatkan bahawa setiap dugaan yang tempuh haruslah diselitkan dengan doa.
“Kadang-kadang rasa seronok, rasa nak nangis dan kadang kadang juga rasa rindu. Rasanya normal lah kan kita bukannya robot boleh lupa macam itu saja.
“Kalau Allah dah cakap titik, jangan ubah jadi tanda tanya. Doa saja yang terbaik untuk yang di sana, insya-Allah yang baik-baik saja untuk kita juga. Amin,”ujarnya.