KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharnaaz Ahmad, kembali menjadi bahan bualan dan kecaman ramai apabila tindakannya membuat ulasan atau rebiu makanan dianggap kurang sopan oleh segelintir warganet.
Ia susulan perkongsian Sharnaaz semalam ketika membuat ulasan makanan mengenai menu nasi ayam yang dibelinya daripada sebuah restoran di Ampang.
Berdasarkan video ulasan tersebut, Sharnaaz menyebut makanan tersebut tidak sedap selain tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.
Bagaimanapun, kalangan warganet menyifatkan kata-kata ulasan Sharnaaz seakan tidak sopan kerana mengunakan pelakon tersebut menyebut perkataan seperti lahanat dan jahanam.
Meninjau ruangan komen di Instagram, ramai kalangan pengikut meminta Sharnaaz membuat ulasan yang lebih sopan dan tidak menggunakan perkataan yang kurang sesuai.
“Baguslah rebiu macam ini jujur, tetapi janganlah masukkan kata-kata yang tak ‘best’ itu mamu,” tulis akmarazali.
“Mamu, maaflah ya, saya cuma beri pandangan sahaja. Mungkin pada saya, cara mamu seolah-olah macam mencela makanan-makanan itu sekali. Tetapi itu mungkin saya yang salah faham. Kalau mamu tak boleh terima pandangan atau teguran, saya pun tak boleh buat apa-apa sebab itu hak mamu. Tidak salah kan kalau kita saling tegur-menegur,” tulis ghaadajanan.
Bagaimanapun, ada juga kalangan pengikut Sharnaaz yang menyifatkan cara ulasan yang dibuat oleh pelakon tersebut sebagai rebiu yang jujur dari sudut pandang pembeli dan pelanggan.
“Terbaik mamu, jujur rebiu. Jangan kasi muka, tak sedap cakap tak sedap. Kalau sedap, boleh pergi lagi,” kata azrizal 1980.
“Cakap benda jujur tak salah bukan? Apa yang mamu cakap itu memang betul, macam mana tak kena maki dengan dia,” tulis cobra23.
“Tolonglah, sesiapa mahu buat rebiu, bawa mamu saja buat. Saya suka sebab jujur,”tulis seorang lagi pengguna.
Sebelum ini, difahamkan, Sharnaaz pernah membuat rebiu makanan dan dijadikan satu rancangan yang dimuat naik di You Tube.
Malah, menerusi ‘rancangan’ tersebut, dia turut pernah dikritik kerana dikatakan tidak menggunakan perkataan yang sesuai semasa membuat ulasan makanan.