Kikis label sekadar bekas ratu cantik - Utusan Malaysia

Kikis label sekadar bekas ratu cantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAKONAN bekas Ratu Cantik Malaysia 2009 ini sekali lagi menerima pujian dan kali ini menerusi filem Padu.

Rata-rata yang menonton filem itu pada malam gala baru-baru ini kagum dengan keberkesanan Thanuja Ananthan dalam membawa watak atlet bola keranjang kebangsaan.

Siapa sangka, Thanuja tidak putus asa, tetap terus setia dalam bidang lakonan selepas beberapa percubaan menerusi filem dan drama antaranya Temuan Takdir, Anak Merdeka dan banyak lagi gagal menonjolkan kebolehan sebenar aktres ini.

Apa pun, wanita berketinggian 182 sentimeter ini bersyukur kerana masih diberi peluang, bakatnya dipandang penerbit dan pengarah tempatan.

Mungkin sudah masanya Thanuja mengikis label sekadar artis berwajah cantik.

“Saya rasa penerbit dan pengarah sudah mula nampak bakat lakonan saya dengan menawarkan watak-watak yang lebih mencabar.

“Contoh watak Kalaimathi dalam filem Padu bukan mudah untuk saya lakonkan kerana orangnya masih ada.

“Jadi saya gembira apabila ditawarkan. Saya memang dari dulu mengharapkan watak mencabar yang boleh menonjolkan kebolehan lakonan saya,” katanya selepas malam gala filem berkenaan.

Thanuja mengakui tidak mudah mengikis gelaran ratu cantik kerana perkara itu adalah sebahagian dirinya.

Tinggal lagi pelakon berusia 39 tahun ini berharap dia tidak terus menerus dipandang sekadar bekas pemenang Miss World Malaysia.

“Menang ratu cantik adalah 15 tahun lalu. Mungkin ramai tak tahu selepas itu saya juga mengacara, berlakon, jadi model dan berniaga.

“Saya tak boleh kikis gelaran ratu cantik. Malah saya bangga kerana pernah wakili negara ke peringkat antarabangsa. Itu tugas yang sangat mencabar.

“Cuma saya harap masyarakat juga tahu saya berbakat dalam bidang seni. Siapa tahu, mungkin selepas 10 tahun nanti saya bergelar pula aktres wanita terbaik?,” ujarnya.

HUBUNGAN KEKAL AKRAB

Thanuja memaklumkan hubungan dengan Anuja, kekal akrab meskipun adik kembarnya itu kini bergelar isteri dan ibu. Ibarat air dicincang tidak akan putus, Begitulah keakraban mereka yang sejak lahir tidak pernah dipisahkan.

“Dia merupakan peminat dan pengkritik nombor satu saya. Anuja tahu kelemahan dan kekuatan saya. Justeru dalam apa perkara sekali pun, saya tetap akan dapatkan pandangan dan nasihatnya.

“Masakan tidak. Kami kenal satu sama lain sejak sebelum dilahirkan kedunia lagi.

“Kami sampai sekarang rapat. Tidak setiap hari jumpa, tapi setiap masa berhubung. Hubungan adik beradik kembar ini istimewa. Sukar saya jelaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Thanuja memaklumkan tidak tergesa-gesa berkahwin meskipun adiknya sudah berumah tangga.

Katanya dia selesa dengan hidup sekarang dan akan merancang (perkahwinan) bila tiba masa yang sesuai.

“Ibu bapa saya tidak paksa saya berumah tangga. Jadi tak perlu tergesa-gesa,” katanya yang kini bercinta dengan jejak asal United Kingdom (UK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya