SHAH ALAM : Penyanyi dan pengacara, Shiha Zikir, mendedahkan, pernah berdepan kerugian berjumlah RM20,000 selepas restorannya iaitu Nasi Ayam Shiha Zikir (NASZ) yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur di dipecah masuk pencuri.
Bukan itu sahaja, menurut Shiha, sepanjang tempoh dia menjalankan perniagaan tersebut, dia turut menerima banyak maklum balas daripada rakan-rakan dan pelanggan mengenai premisnya yang disangka tutup meskipun waktu perniagaan dibuka pada setiap hari.
“Bulan Jun tahun lalu, kedai makan saya kena pecah masuk dan melibatkan kerugian sekitar RM20,000. Syukur Alhamdulillah, polis berjaya menangkap penjenayah tersebut.
“Selain itu, ada beberapa orang kenalan yang datang ke restoran tapi tutup. Bukan sekali dua mereka datang tapi sudah banyak kali dan tetap bertutup sedangkan kami beroperasi seperti biasa.
“Ada yang beritahu kepada saya sampai tiga hari kedai saya ‘ditutup’. Saya pun sering dapat panggilan yang bertanyakan waktu operasi kami walhal restoran saya dibuka setiap hari, jam 11 pagi hingga 10 malam.
“Saya terus hubungi pekerja sama betul atau tidak kedai makan tak buka. Tapi mereka kata restoran buka saja macam biasa,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua Nasi Ayam Shiha Zikir di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Shiha akui pada awalnya sukar mempercayai jika perkara tersebut ada kaitan dengan sihir.
Malah, tambah Shiha, dia juga kerap bermimpikan ular hitam yang biasanya merujuk kepada petanda ilmu sihir.
“Saya sebenarnya sebelum ini susah nak percaya dengan benda-benda misti, tetapi bukan seorang dua yang nampak kedai saya seakan tutup.
“Memandangkan saya ada keluarga yang buka kedai makan juga dan pernah alami perkara sama, saya jadi terfikir juga. Saya hanya perbanyakkan doa kepada Allah SWT untuk permudahkan urusan saya dan keluarga.
“Saya ada minta ustaz kongsikan doa yang boleh diamalkan untuk lindungi diri daripada terkena gangguan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shiha memaklumkan, dia telah mengeluarkan belanja sebanyak RM500,000 bagi mengembangkan lagi empayar perniagaannya dengan membuka cawangan kedua di Shah Alam.
“Ramai nak saya buka kedai ini di tempat mereka supaya mudah untuk datang makan. Tapi untuk permulaan ini, saya buka kedai kedua di Seksyen 7, Shah Alam. Lokasi ini jadi pilihan saya sebab strategik dan berdekatan dengan pelajar.
“Sebanyak RM500,000 telah dibelanjakan untuk cawangan kedua ini. Kos paling mahal adalah di bahagian dapur. Insya-Allah, kita juga sedang berbincang untuk meletakkan harga istimewa khas untuk pelajar yang datang makan nasi ayam di restoran kami.
“Besar harapan saya untuk melihat perniagaan ini mampu jadi francais. Ia masih dalam perancangan, Insya-Allah,”katanya.