BUKAN sekadar filem, namun Keluang Man adalah sebuah animasi dan jenama yang sangat dekat dengan memori masa kecil sebahagian masyarakat Malaysia.
Oleh itu, keberanian untuk menjelmakan naskhah ini ke layar perak adalah kerja gila kerana mereka secara automatik akan bermain dengan harapan penonton yang tinggi.
Ketika nama pelakon Nas-T diumum menjadi pelakon taruh filem ini, ada respons yang bercampur baur dalam kalangan penonton.
Pemilik nama penuh Nas Muammar Zar Nasruddin bagaimanapun faham jika terdapat segelintir individu merasakan dia tidak layak membawakan karakter Keluang Man.
“Kalau mahu letakkan bebanan Keluang Man di atas bahu saya seorang, memang akan rasa tertekan. Tapi di belakang naskhah ini ada satu pasukan besar yang turut sama menjayakannya.
“Saya akan lakukan yang terbaik agar penonton berpuas hati dengan lakonan saya. Saya akan buat dalam versi sendiri agar mereka rasakan karakter ini dekat.
“Jika ada yang skeptikal terhadap saya, saya ingin katakan tunggulah sampai naskhah ini keluar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas 20 hari menjalani penggambaran, Nas-T memaklumkan Keluang Man adalah naskhah yang rencam dengan pelbagai perasaan. Penonton akan dibawa melayari turun naik seorang Borhan sehingga menjadi Keluang Man.
“Saya boleh katakan Keluang Man adalah projek paling mencabar sepanjang karier saya. Di samping mempelajari seni bela diri seperti judo, jiu jitsu, boxing dan silat, saya juga perlu mahir dalam menari.
“Cerita ini penuh rasa dan emosi yang turun naik. Penonton akan gelak, sedih dan juga cemas melihat sentuhan aksi.
“Penonton akan faham kenapa Borhan mengalami masalah mental,” jelasnya.
Kostum mahal, masih rahsia
Seperti filem adiwira yang lain, sudah semestinya ramai yang menantikan bagaimanakah bentuk kostum Keluang Man yang sangat ikonik dalam animasinya. Pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu hanya tersenyum kerana semuanya masih rahsia.
“Berkenaan kostum saya belum boleh dedahkan kerana sedang tunggu lampu hijau daripada pihak pemasaran.
“Tapi apa yang boleh saya katakan, ukuran kostum memang tepat dengan tubuh saya dan sangat selesa untuk dipakai melakukan adegan aksi.
“Kos untuk hasilkan kostum itu juga agak tinggi dan dihasilkan oleh pembuat kostum anak tempatan kita.
“Dia berhempas pulas menyiapkan kostum itu. Ia sangat cantik dan memang saya berpuas hati,” katanya.
Sepanjang penggambaran, Nas-T mengalami kecederaan terseliuh di bahagian jari dan belakang badan.
Namun, dia merasakan ia sebahagian daripada lumrah pelakon aksi dan tetap menyelesaikan tugasnya dengan profesional.
“Waktu latihan saya sudah cedera. Belakang badan saya juga ada terseliuh. Oleh itu setiap hari memang ada ahli terapi yang urut bahagian badan. Jika mahu melakonkan adegan aksi memang akan sedikit sakit.
“Namun saya tetap siapkan juga babak tersebut. Itulah pengorbanan seorang pelakon aksi,” katanya.