Jangan dipertikai lagi Siti Nurhaliza pakar apa - Ahli akademik - Utusan Malaysia

Jangan dipertikai lagi Siti Nurhaliza pakar apa – Ahli akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyelidik dan pensyarah, Datuk Dr. Ramzah Dambul, tampil membela pelantikan penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).
Menurut Ramzah Dambul, keahlian seseorang bukan sahaja diukur berdasarkan kelayakan sistem pendidikan formal tetapi juga bersandarkan kepada pengalaman hidup yang diraih.

“Pakar maksudnya seseorang yang ahli dalam sesuatu bidang, sama ada dari aspek pengetahuan atau kemahiran, atau merangkumi kedua-duanya iaitu pakar ilmu dan praktis sekali gus.

“Seseorang yang sudah mengusahakan ladang durian dengan jaya selama 20 hingga 30 tahun, boleh dianggap pakar perladangan.

“Tapi mungkin belum boleh dianggap pakar agrotani. Sebab kepakaran praktikal tidak sama dengan kepakaran ilmu, yang menuntut asas saintifik yang lebih sistematik,” katanya menerusi sebuah hantaran di media sosial.

Tegasnya lagi, masyarakat perlu memahami konsep pembelajaran sepanjang hayat yang tidak hanya terikat dengan sistem pendidikan formal semata-mata.

“Kedua-dua kepakaran ini penting, dan menawarkan nilai signifikan tersendiri. Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, simbiosis pendidikan formal dan pengalaman praktik mesti dipupuk dan dihayati, sedalam-dalamnya.

“Sedangkan konsep pembelajaran sepanjang hayat itu merentasi institusi pengajian formal. Proses itu mesti berterusan sehingga memasuki alam pekerjaan dan dunia kehidupan sebenar,” jelasnya.

Dalam pada itu, pensyarah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan Sabah itu berpendapat Siti Nurhaliza layak menyumbang ilmu di kampus tersebut memandangkan kebolehannya sudah pun diiktiraf dunia.

“Siti Nurhaliza sudah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional, regional dan international dalam bidang yang diceburinya — iaitu, industri kreatif dan keusahawanan produk kecantikan. Semua merit itu adalah endorsemen pada kepakarannya dalam bidang tersebut.

“Jangan ditanya dan dipertikai lagi Siti itu pakar apa. Universiti terbaik di Malaysia telah pun memperakui kepakaran yang dimiliki beliau.

“Tanya diri sendiri ini, anda pakar apa? Ya, saya tahu pakar ‘menganjing’ di media sosial pun, sejenis kepakaran juga. Tapi ini bukanlah kepakaran yang penting dan strategik untuk negara. Sebab 90% netizen Malaysia sudah pun memiliki kepakaran ini.

“Carilah bidang lain yang masih lain dan eksklusif,” tulisnya sinis.

Terdahulu, perlantikan Siti sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya menjadi bualan hangat apabila segelintir warganet mempertikaikan kelayakan akademik penyanyi itu.

Bukan itu sahaja, pelantikan Siti juga dikatakan merendahkan martabat Universiti Malaya sebagai universiti terbaik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya