Jadikan Zim Zim Ala Kazim sebuah filem keputusan berbaloi - Mawi

Jadikan Zim Zim Ala Kazim sebuah filem keputusan berbaloi – Mawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meraih kutipan RM3 juta dalam tempoh 11 hari tayangan, sutradara, Mawi, bersyukur kerana naskhah arahannya, Zim Zim Ala Kazim mendapat tempat di hati peminat filem tempatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mawi secara peribadi tidak menyangka sambutan terhadap filem itu begitu luar biasa berikutan pada awalnya tidak pernah merancang mengangkat Zim Zim Ala Kazim ke layar perak.

“Alhamdulillah, saya memang tak pernah menyangka sambutan terhadap filem ini bagus. Asalnya nak buat drama sahaja di kaca televisyen.

“Tetapi bila diangkat ke layar perak dan jadikan ia sebuah filem, ternyata ia merupakan satu keputusan berbaloi.

“Alhamdulillah, ini satu rezeki buat saya,”katanya ketika dihubungi, semalam.

Mawi berkata, selain pengarahannya, dia percaya, orang ramai hadir ke panggung wayang untuk menyaksikan lakonan barisan artis yang menjayakan filem tersebut.

Katanya, paling ramai mahu saksikan adalah lakonan Ustaz Kazim yang memegang peranan utama dalam filem yang menceritakan kisah benarnya itu.

“Saya percaya ramai nak tengok filem ini kerana barisan pelakonnya. Ustaz Kazim sebagai watak utama dan kita juga ada Ryan Bakery, Bell Ngasri, Iqram Dinzly, Anas Tahir.

“Saya dapat maklum balas yang positif daripada penonton dan itu membuatkan saya rasa sangat bersyukur dan terharu.

“Saya juga bersyukur kerana melihat kepada sambutan menggalakkan daripada penonton, pihak panggung juga masih mengekalkan tempoh tayangan di 70 lokasi dalam negara. Ia juga satu rezeki tak terjangka bagi saya,”katanya.

Mula ditayangkan sejak 13 Jun lalu, filem ini diterajui Datuk Ustaz Kazim Elias dan turut menampilkan Mawi sendiri, Bell Ngasri, Anas Tahir, Elvina Chuah, Zarina Anjoulie dan ramai lagi.

Zim Zim Ala Kazim berkisar mengenai pendakwah popular, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang pernah terkena penyakit misteri akibat disihir. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN