TIADA siapa yang mahu dirinya terus diingati bedasarkan kepada kesilapan yang dilakukan pada masa lalu.
Seolah-olah waktu telah berjalan, tapi entah mengapa cakap buruk orang selalu kekal dalam fikiran. Begitulah yang dialami pelakon, Haneesya Hanee sehingga hari ini.
Walaupun kontroversi hebat melanda dirinya sudah enam tahun berlalu, namun gadis itu mengakui masih terkesan dengan kata-kata tajam dilemparkan warganet.
Dalam suara ketar dan tangan menggigil ketika ditemui Utusan Malaysia, Haneesya mengatakan hasrat bahawa enggan lagi melakonkan watak orang mabuk atau adegan ke kelab malam kerana gusar akan mengingatkan netizen kepada sejarah hitam yang ingin dilupakan.
Bahkan gadis itu seakan pasrah mengatakan sejak peristiwa penarikan semula gelaran Dewi Remaja pada 2019, namanya sudah tidak boleh lagi dibersihkan.
“Saya sedar imej saya memang sudah buruk. Saya sedikit trauma dengan netizen. Saya tidak boleh jangka komen netizen selepas insiden itu.
“Memanglah kata orang jika mahu jadi pelakon kena kental, tapi tidak semudah itu. Walau macam mana kuat sekalipun saya cuba, saya juga manusia.
“Kalaulah mereka duduk di tempat saya, mereka mungkin faham betapa sukarnya untuk hadap semua ini,” dedahnya.
Bukan tidak pernah bangkit dan memulakan episod baru hidup, gadis asal Pulau Pinang ini mengakui jalannya tidak mudah walaupun pernah bergelar Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular ke-32.
“Rasanya selepas kemenangan itu tawaran berlakon lebih sukar diterima. Tawaran ada tapi kebanyakannya drama komedi dan watak kameo.
“Pernah juga sekali saya bawakan watak utama. Tapi sayangnya drama itu tidak naik,” katanya.
Gadis kacukan Arab-Melayu itu turut mengesahkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan selama setahun membuatnya ibunya, Nor Sakuraneeda, menggadaikan barang kemas demi kelangsungan hidup.
“Dia selalu cakap barang kemas yang anak-anak beri, bukan untuknya. Dia hanya pakai sahaja tapi dia anggap ia sebagai harta kecemasan untuk masa depan anak.
“Kalau di masa hadapan anak-anak perlukan duit, dia akan ambil barang kemas itu dan gadaikan.
“Cuma sebagai anak, bila ibu sudah gadaikan barang kemas, kita kena tebus semula dan beli lagi barang kemas untuknya,” tambahnya.
Ditanya mengenai perkembangan terbaharu selain membintangi drama ‘Aku Bukan Ustazah’ yang sedang ke udara, gadis itu ketawa.
“Itulah, saya harap ada sesiapa yang tawarkan saya kerja. Saya tunggulah. Jika kalian ada kerja mahu berikan, hubungi saya ya,” katanya berseloroh.
Terdahulu pada tahun 2019, Haneesya Hanee terpaksa menyerahkan semula mahkota dan selempang kemenangan gelaran Dewi Remaja selepas kontroversi videonya di kelab malam menjadi tular.