JAKARTA : Prihatin dengan penderitaan rakyat Palestin, pengacara dan selebriti terkenal Indonesia, Ivan Gunawan, 43, mendedahkan telah membuat sumbangan berupa tiga buah ambulans untuk menampung keperluan dan kemudahan saudara Islam di sana.
Menurut Ivan, sumbangan itu merupakan antara tambahan yang dilakukannya selain barangan berbentuk pakaian dan keperluan makanan buat penduduk Palestin.
“Saya memutuskan untuk menyumbangkan sebanyak tiga buah ambulans ke Palestin,”katanya
Bagaimanapun, kata Ivan, dia juga sedar bahawa pengiriman bantuan kemanusiaan ke Palestin sangat ketat pada waktu ini sekali gus menimbulkan rasa khuatir dalam dirinya.
“Tidak semudah itu juga bantuannya dapat masuk (ke Palestin). Jadi, lebih baik wang tunai itu kami bawa ke sana, belanjakan semua wang itu di sana termasuk menyusun atur barangan keperluan lain,”katanya.
Dalam pada itu, kata Ivan, dia juga mendapat khabar bahawa ambulans yang disumbangkannya telah mula beroperasi.
Untuk info,Ivan merupakan seorang daripada selebriti Indonesia yang aktif menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Ivan juga pernah menjalankan kutipan sumbangan menerusi penjualan hijab edisi Palestin di bawah jenamanya.
Terbaharu, Ivan juga mendapat sokongan daripada Badan Amil Zakat Nasional atau Baznas RI.