KUALA LUMPUR : Pelakon, penyanyi, pengacara, penghibur dan pelawak, Isma Alif tetap menunaikan tanggungjawab menjaga ibunya,Maimon Tambi,78, walaupun baharu keluar dari hospital beberapa bulan lalu.
Pemilik nama sebenar, Muhammad Latiff Ismail yang kini berusia 60 tahun didiagnos dengan jangkitan kuman pada jantung dan paru-paru 15 Disember lalu, hingga perlu ditidurkan.
Isma yang mencipta nama dengan lagu saduran yang dikomedikan berkata, beliau masih menjalani pelbagai jenis rawatan di Hospital Ampang dan berharap dapat menjalani rawatan akupuntur tidak lama lagi.
“Saya membantu sekadar termampu ibu saya yang menghidap kencing manis dan sudah menjalani pemotongan kaki.
“Buat masa ini saya dan ibu masih dijaga adik kerana saya masih belum pulih sepenuhnya,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika disantuni ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan artis di rumahnya di Ampang baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dia boleh makan dan minum sendiri, bertutur walaupun ada sedikit masalah sebutan, manakala berjalan perlu menggunakan tongkat berkaki empat.
“Saya tidak boleh berdiri lama dan banyak duduk di katil sambil membantu ibu saya. Sebelum dimasukkan ke hospital tahun lalu saya sememangnya berehat dari dunia hiburan untuk menjaga ibu, sudahnya saya kini berbaring di sebelah katil ibu.
“Insha’Allah apabila saya sudah cukup kuat, saya akan menjalani terapi akupuntur bagi rawatan susulan selain ubat-ubatan,”ujarnya.