PETALING JAYA : Berupaya menambat hati penonton menerusi jalan cerita penuh emosi, filem popular dari Thailand, How To Make Millions Before Grandma Dies berjaya meraih jumlah kutipan sebanyak RM8.4 juta dalam tempoh 10 hari tayangan di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pihak GSC Cinema, naskhah ini mengambil alih takhta sebagai filem Thai paling laris selepas ‘Bad Genius’ 2017 selain turut merekodkan kutipan tertinggi harian iaitu sebanyak RM1.6 juta.
Bukan sahaja kutipan tertinggi, malah ramai pengguna media sosial banyak memberi reaksi yang sangat positif kepada filem tersebut.
“Saya tidak pernah menangis seteruk ini kalau tengok filem di wayang. Sejujurnya, filem ini banyak menyentuh emosi dan nostalgia,” jelas @winmetawei menerusi akaun X.
“Filem ini memberi kesan yang sangat berbeza kepada saya yang dibesarkan oleh nenek sendiri,” luah seorang lagi pengguna X, @vesicaafellea.
Tidak cuma itu, banyak bahan kandungan yang kini menjadi trend menerusi akaun TikTok di mana pengguna melakukan reaksi mereka sebelum dan selepas menonton filem tersebut.
Sebelum filem ini ditayangkan, ia juga sudah pun menarik perhatian yang besar, berkat respons daripada negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dan gelombang itu terus mengalir ke Malaysia sehingga berjaya mendominasi kutipan tertinggi.
Filem ini mengisahkan seorang pemuda, M, yang berhenti kerja untuk menjaga neneknya yang sedang berjuang melawan kanser.
Walau bagaimanapun, keinginan untuk menjadi cucu yang berbakti didorong bukan hanya oleh cinta keluarga tetapi juga oleh peluang mewarisi harta yang besar dari neneknya.
Dia berusaha sehabis baik untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang neneknya.
Namun, semasa saat-saat terakhir yang dia lalui bersama neneknya, banyak perkara yang dipelajari sehingga mengubah tujuan asalnya.