JAKARTA: Gitaris band popular Sheila On 7, Eross Candra, berjaya menjual gitar kesayangannya berharga RM36 ribu (125 juta rupiah) untuk didermakan kepada Palestin.
Gitar elektrik jenama Fender Telecaster #28 itu dibeli oleh seorang peminat menerusi akaun Instagram @cyberbagus pada Ahad.
“Ini adalah gitar peribadi yang saya pakai setiap kali membuat persembahan bersama Sheila On 7 selepas pandemik berakhir.
“Hasil lelongan ini akan disalurkan seratus peratus kepada Gaza.
“Semoga gitar ini akan memberi kegembiraan kepada pemiliknya seperti mana ia menggembirakan saya setiap kali menggunakannya,” tulis Eross menerusi satu hantaran di media sosial.
Acara lelong berkenaan dikendalikan oleh syarikat muzik, Smosyu Music di Instagram dan dana akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan @kitabisacom.
Bukan itu sahaja, Gitar milik Eross tersebut merupakan antara yang sukar didapati di dunia kerana hanya dikeluarkan sebanyak 50 buah sahaja oleh syarikat Fender.
Selain itu, gitar tersebut juga pernah dipakai Eross semasa membuat persembahan di konsert besar Sheila On 7 seperti Tunggu Aku di Jakarta pada tahun lalu.
Menurut Smosyu Music, penerbit muzik dan komposer, Faizal Lubis juga mengikuti jejak langkah Eross dengan menderma sebanyak RM28 ribu (100 juta rupiah) kepada Gaza.
Terdahulu pada Jumaat, tentera Israel telah menggempur kawasan tengah Gaza susulan daripada Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir yang merancang menyambung semula rundingan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.
Israel telah melakukan pengeboman di kem Al-Maghazi dan dua kem lain berhampiran Deir al-Balah menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang maut.