PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Salju Rindu, Riena Diana mengakui memiliki hubungan istimewa di luar set penggambaran bersama Keith Foo walaupun aktor tersebut berstatus duda.
Riena atau nama penuhnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, berkata, perkara itu bukan menjadi penghalang kepada mereka untuk menjalinkan hubungan bersama memandangkan Keith tidak terikat sebagai suami orang.
“Sebenarnya, kami baru sahaja sebulan bersama dan tidaklah mahu menguar-uarkan perkara ini.
“Saya tak kisah walaupun dia kini berstatus duda. Perkara itu tidak menjejaskan kerjaya saya pun.
“Kalau dengan orang lain yang memiliki status yang sama pun (duda), saya tidak kisah asalkan bukan suami orang,” jelasnya ketika ditemui selepas sidang media I Can See Your Voice 7, baru-baru ini.
Selain itu, Riena turut mendakwa dirinya sangat sukakan kanak-kanak dan perkara itu sedikit sebanyak menyebabkan dia tidak kisah walaupun Keith memiliki seorang anak.
“Masih boleh dipertimbangkan lagi kalau ibu bapa di kedua-dua belah pihak boleh terima perkara itu dan saya memang sangat sukakan kanak-kanak.
“Pertama kali saya jumpa keluarga besar dan anak dia pun, mereka sangat okey dengan saya. Tidak ada sebarang masalah yang berlaku pada ketika itu. Kami hanya mampu mendoakan yang terbaik sahaja,” jelasnya.
Untuk info, Keith pernah mendirikan rumah tangga dengan Kim Raymond pada November 2015 dan mereka dikurniakan anak perempuan bernama Skylar yang kini berusia tujuh tahun.
Namun, mereka memutuskan bercerai secara baik pada penghujung 2019.
Sementara itu, Riena sebelum ini menjalinkan hubungan dengan kekasihnya, Nik Afiq namun berakhir pada penghujung tahun lalu.