PENTAS Zepp Kuala Lumpur semalam menyaksikan satu penanda aras besar buat duo DJ asal Indonesia, Diskoria apabila hajat mereka untuk berkolaborasi dengan penyanyi bertaraf legenda hidup Malaysia, Datuk Sheila Majid akhirnya terlaksana dengan sempurna.
Bagi mereka yang mungkin tidak tahu, Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat, sudah lama menyimpan angan untuk bekerjasama dengan Sheila yang turut menjadi rebutan ramai kalangan pemuzik di Asia khususnya.
Maka, menerusi persembahan mereka di konsert A Time Travel Diskoria With Special Guest Sheila Majid malam semalam, tidak kebaratan andai dianggap dua jejaka ini sudah mampu pulang dengan senyuman penuh bangga kerana impian yang satu ini sudah tercapai.
Hal itu juga pernah dimaklumkan oleh Merdi dan Fadli saat melangkah ke Kuala Lumpur tempoh hari bagi menjayakan sebuah sesi sidang media.
“Ramai mahu berkongsi pentas dengan Sheila dan bukan mudah untuk dapat peluang ini. Apabila beliau setuju, ia bagaikan mimpi jadi kenyataan.
“Sheila seorang penyanyi amat dikagumi di Indonesia. Rasanya kami tak minta apa lagi selepas dia sudi bekerjasama.
“Ramai juga rakan-rakan artis yang tidak percaya dan cemburu kerana Sheila memberi kata setuju,” kata Merdi.
Dihadiri seramai 1,700 peminat, konsert tersebut menyaksikan Merdi dan Fadli berupaya mencipta magis tersendiri dengan membawa penonton ‘menaiki’ mesin masa untuk kembali ke era kegemilangan muzik berentak retro disko.
Memulakan persembahan tepat pada jam 8 malam, Diskoria menghangatkan seisi dewan dengan 26 buah lagu lama dan baharu yang dieksperimentasikan dengan gaya muzik retro disko.
Suasana bertambah meriah dengan kemunculan Sheila Majid yang menyanyikan lagu-lagu hits penuh nostalgianya seperti Warna, Dia, Antara Anyer dan Jakarta dan semestinya Sinaran.
Kolaborasi itu dilihat sangat sempurna memandangkan lagu-lagu Sheila begitu mengena dengan gubahan muzik berentak disko sekali gus menyerlahkan sisi muzik yang lebih segar dalam karya-karyanya.
Selain lagu Hits bersama Sheila, Diskoria juga tidak ketinggalan memainkan lagu-lagu hits mereka yang turut mendapat sambutan dan sorakan gemburuh daripada peminat dan penonton yang hadir.
Antaranya termasuk Serenata Jiwa Lara, Prahara Cinta, Galih dan Ratna, Seribu Impian, Juwita, Rame-rame, Rasanya, Sakura, Khayalan dan Panas Asmara.
Tidak cuma itu, lagu hits seperti Balada Insan Muda, Chrisye dan Badai Telah Berlalu juga dibawakan oleh Diskoria bagi melengkapkan set persembahan mereka.
Sementara itu, MY Deteksi bersama penganjur bersama iaitu Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia turut berbangga kerana berjaya membawakan satu-satunya konsert yang dibanjiri genre muzik disko versi ‘bersih’ di sini.