KUALA LUMPUR: Pereka fesyen popular, Ezuwan Ismail mengakui terharu dan berbangga apabila berpeluang menghasilkan sepasang busana ekslusif buat penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw sempena Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends: Malam Graduasi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam.
Ezuwan, 42, berkata, kesudian ikon muzik terkemuka Indonesia itu menyarung persalinan ilham pereka tempatan buat julung kali itu merupakan satu penghargaan besar kepada dirinya.
“Melly sudah melihat busana Ezuwan Ismail Kuala Lumpur yang dipakai oleh penyanyi, Aina Abdul ketika membuat persembahan di dalam sebuah majlis anugerah pada Februari lalu. Kebetulan ketika itu dia disolek oleh Epie Termerloh yang bertanya sama ada dia berminat untuk cuba guna khidmat pereka tempatan sekiranya membuat persembahan di Malaysia selepas ini.
“Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini.
“Satu penghormatan bila dia terus nak pakai baju pereka tempatan kita dalam satu persembahan skala besar. Rasa teruja campur berdebar bila berpeluang untuk berkarya seterusnya reka baju figura terkenal Seberang seperti Melly Goeslaw.
“Iyalah bukan senang mahu dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini,” katanya.
Berkongsi mengenai rekaan tersebut, Ezuwan menjelaskan baju yang dihasilkan adalah yang termahal pernah dihasilkan untuk mana-mana selebriti setakat ini.
“Sesuai dengan karektor dan personaliti Melly, Saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.
“Lebih 70,000 manik dan mutiara telah digunakan yang makan masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan. Kalau dijual di pasaran, harganya sekitar RM130,000 dan mutiara pelbagai saiz itu juga telah dibeli dari luar negara.
“Memang mahu cipta satu kelainan yang eskklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah ‘signature’ Ezuwan Ismail Kuala Lumpur.
“Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi ‘fitting’ dilakukan. Satu penghormatan juga bila Melly menyarung ia pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya telah dipersembahkan pada segmen itu,”katanya.
Dalam pada itu, Ezuwan tidak menolak peluang yang diberikan ini bagai satu tiket emas buatnya untuk meninjau pasaran di negara seberang dalam usaha mengembangkan lagi jenamanya sebagai seorang pereka fesyen.
“Semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail Kuala Lumpur hasilkan sebab sebelum ini saya sudah mereka persalinan ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain.
“Syukur atas pelbagai maklum balas positif yang diterima. Saya anggap ini rezeki dan sudah semestinya pencapaian baik ini menjadi pembakar semangat untuk Ezuwan Ismail Kuala Lumpur terus mencipta sukses selepas ini, insya-Allah.
“Saya juga tidak menolak andai kata ada peluang untuk meneroka pasaran di negara luar, ia adalahs atu rezeki buat saya dalam mengembangkan lagi jenama Ezuwan Ismail,”katanya.