KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, menyifatkan, individu yang tidak mahu menyuarakan isu Palestin kerana bimbang tindakan itu seakan menutup ‘periuk nasi sendiri’ sebagai seorang yang tidak faham konsep rezeki sebenar.
Menurut Uyaina, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana konsep percaya kepada rezeki Allah SWT seharusnya perlu disemat dalam hati setiap orang Islam.
“Kalau kita faham konsep rezeki itu datangnya daripada Allah dan sedar apa yang kita buat itu akan dihisab, sememangnya kita tidak akan risau tentang rezeki.
“Tetapi, sayang sekali kalau takut suarakan isu Palestin sebab risau tutup periuk nasi sendiri.
“Sedangkan, bukannya jenama atau pelanggan yang perlu kita risaukan tetapi amalan kita dengan Tuhan yang perlu kita fikir kerana Dia sahaja yang akan memberikan kita rezeki,” jelasnya ketika dihubungi Utusan, semalam.
Selain itu, Uyaina turut berpendapat, individu yang menunjuk-menunjuk sewaktu memberi sumbangan kepada Palestin adalah satu jalan terbaik untuk mendorong orang lain berbuat kebaikan serupa.
“Saya secara peribadi tidak pernah lagi menunjuk atau kongsikan kepada sosial media kalau buat sumbangan.
“Tetapi, zaman sekarang ini adalah zaman media sosial, yang mana apa yang kita buat itu terutama pempengaruh, sedikit sebanyak dapat memberi dorongan kepada orang lain untuk melakukan tindakan yang sama.
“Kalau dengan menunjukkan resit itu dapat memberi inspirasi kepada satu orang sahaja pun sudah cukup bagus sebenarnya.Tetapi, kita tidak tahu niat sebenar mereka buat perkara itu. Benda itu hanya dia dengan Tuhan sahaja yang tahu,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Uyaina, dia sangat gembira apabila melihat ramai masyarakat hari ini semakin sedar dan tidak kedekut untuk berkongsi serta berani menyuarakan isu Palestin.
Terdahulu, negara digemparkan dengan isu Blockout 2024 di media sosial yang melibatkan beberapa orang artis.
Gerakan itu didakwa antara langkah menyekat periuk nasi golongan selebriti secara sengaja menyebabkan ramai kalangan mereka mula bimbang menjadi sasaran serangan netizen.