KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wany Hasrita, mengakui hairan kerana sehingga kini masih menerima mesej lucah daripada individu tidak dikenali meskipun sudah bergelar seorang isteri.
Bagi mengelak perkara tersebut terlarutan, Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, berkata, dia bertindak menyekat akaun berkenaan selain menganggap pelaku mungkin mengalami masalah kesihatan mental.
“Kita tidak boleh kawal apa yang mereka mahu komen atau hantar melalui mesej. Apa yang saya buat ialah kawal perkongsian.
“Memang geram, tapi kita anggap sahaja mereka itu tidak sihat dari segi mental.
“Saya akan sekat akaun yang kongsi benda lucah. Sudah kahwin pun saya masih terima perkara sebegitu. Saya tengok juga bahagian mana lagi yang saya tidak tutup (aurat).
“Saya terfikir, menjadi figura umum juga kadangkala membuatkan mental saya tidak sihat berbanding mereka yang tidak menggunakan media sosial,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Muzium Telekom, baru-baru ini.
Selain itu, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular ke-31 itu juga mengakui pernah menerima hinaan apabila wajahnya disamakan dengan binatang.
“Saya pernah dipanggil babi. Bila saya tengok wajah di cermin, tiada pula persamaan saya dengan binatang itu. Hidung pun berbeza.
“Tapi itu perkara biasa memandangkan saya sudah menjadi tontonan umum,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi Menahan Rindu itu mengambil pendekatan untuk tidak kerap memuat naik foto anak sulungnya, Aishah Al Iman, di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa buli siber.
“Saya pernah [amerkan anak dalam video muzik sebelum ini. Itupun saya ambil masa yang lama untuk berbincang dengan suami kerana khuatir dengan komen di YouTube.
“Dari dulu, saya kawal jika mahu berkongsi tentang anak. Saya tidak muat naik terlalu kerap.
“Lagipula penyakit a’in ini wujud. Jika terlalu kerap berkongsi, nanti anak tiba-tiba meragam atau tidak berhenti menangis.
“Jadi eloklah muhasabah diri. Kalau perkara seperti tukar lampin anak, saya tidak akan kongsi,” katanya.
Bukan hanya Wany, malah sebelum ini penyanyi, Ernie Zakri turut mengambil pendekatan serupa apabila anaknya, Nur Khawla Soleha menjadi mangsa buli siber.
Terdahulu, pada Julai lalu, Wany berkongsi berita gembira menerusi sekeping foto di media sosial memaklumkan telah selamat melahirkan anak sulungnya.
Untuk rekod, Wany dan suami, Mohd Al-Adib Fahmi selamat bergelar suami isteri pada 22 Julai 2022.