PETALING JAYA : Penyanyi, Radhi OAG, 46, memaklumkan dia masih berhubung dengan bekas ibu mentua bagi membolehkannya berjumpa dua anaknya iaitu Nur Aisyah, 9, dan Muhammad, 7, yang kini diletakkan di bawah jagaan wanita tersebut.
Kata Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, hal itu disebabkan bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri sudah enggan berhubung dan memilih untuk memutuskan segala bentuk komunikasi dengan penyanyi berkenaan.
“Saya lebih banyak berhubung dengan ibunya kerana dia sudah lama sekat segala bentuk komunikasi dengan saya. Berbaik semula? Wallahualam, tapi kalau hendak balik semula, mustahil.
“Dia pun sudah buat saya sampai begini. Cukuplah kami berbaik untuk anak-anak,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Petaling Jaya dekat sini semalam.
Radhi hadir ke mahkamah itu pagi semalam bagi mengikuti perbicaraan berhubung dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di tempat letak kereta Emporis Menara D Kota Damansara, dekat sini, pada pukul 2.29 petang, 19 April 2022.
Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Nur Shahira sebelum ini menuntut agar bekas suaminya itu membayar pampasan berjumlah RM300,000 sebagai persertujuan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Radhi bagaimanapun menafikan dia bersetuju untuk membayar jumlah tersebut selain menolak kononnya dia juga bersetuju menyerahkan RM5,000 dan RM500 kepada Nur Shahira.
“Saya tidak pernah menyatakan persetujuan untuk membayar jumlah tersebut kerana enggan disalah anggap merasuah bekas isteri agar dia menarik balik kes berkenaan.
“Oleh itu, saya mahu kes ini terus dibicarakan di mahkamah dan berharap dapat menuntut keadilan,” ujarnya.
Majistret bagaimanapun mengesahkan tiada penarikan laporan polis dibuat sehingga hari ini.
Sementara itu, peguam mewakili Radhi, Haziq Aizuddin Subhi, 33 enggan mengulas lanjut mengenai intipati perbicaraan pagi tadi selain memaklumkan proses tersebut mungkin bakal berlarutan.
“Selagi kes ini belum selesai, anak guam saya belum dibuktikan bersalah,” katanya.
Radhi dan Nur Shahira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014. Namun keduanya memutuskan untuk bercerai pada Julai 2019.