KUALA LUMPUR : Pelakon, Hafidz Roshdi,30, mengakui gembira dan bersyukur apabila kini kembali aktif berlakon selepas lebih setahun tidak mendapat sebarang tawaran.
Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi berkata, tempoh itu adalah yang paling lama buatnya terutama selepas melalui beberapa ujian dalam hidup.
“Allah bagi peluang kedua atas rezeki yang diterima ini. Selepas beberapa bulan saya buat e-hailing, sekali dapat tawaran lakonan. Kiranya macam periuk nasi saya terbuka kembali.
“Masih ada yang mempercayai bakat saya. Pada masa yang sama saya sangat terharu apabila produksi Global Station berikan tawaran membintangi drama Bawah Payung Awan musim kedua.
“Lebih sebulan saya berada di set dan kini sedang menghabiskan baki penggambaran,” katanya.
Ditanya mengapa dirinya tidak mempunyai tawaran sebelum ini, Hafidz bagaimanapun percaya pada rezeki dan tidak mahu mempersoalkan mengenai perkara itu.
“Tawaran lakonan ada saya terima, termasuk awal tahun ini namun akhirnya tiada rezeki kerana mungkin nama tidak diluluskan stesen televisyen. Saya pun tidak pasti apa sebabnya.
“Saya tidaklah mahu bertanya kepada penerbit atau pengarah mengenai hal tersebut. Saya hanya anggap saja tiada rezeki,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hafidz mengakui masih lagi meneruskan kerja sebagai penghantar barang untuk sebuah syarikat kurier terkemuka.
“Saya anggap kerjaya sebagai penghantar barang dalam tempoh empat bulan ini sebagai proses terapi atau ‘healing’.
“Ia sedikit sebanyak membantu meredakan masalah bipolar yang dihidapi sejak 2021 sebab saya dapat berbual dan berjumpa dengan orang ramai.
“Saya buat ‘job’ ini pun selepas dicadangkan oleh pakcik saudara. Tidak sukar sebenarnya untuk mendaftarkan diri untuk bekerja dalam bidang e-hailing ini,” katanya lagi.
Hafidz dalam pada itu berlapang dada seterusnya berharap agar pembabitannya dalam drama terbaru itu akan membuka lagi pintu rezeki buatnya.