Bakal timang cahaya mata? Insya-Allah saya akan umum - MK

Bakal timang cahaya mata? Insya-Allah saya akan umum nanti – MK

MK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan anggota kumpulan K-Clique, MK, mengakui belum bersedia untuk berkongsi berita gembira meskipun sedar khabar angin mengenai kehamilan isterinya, Siti Hajaar, menjadi bahan bualan ramai pada waktu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, dia juga perlu mengutamakan persetujuan isteri sekiranya telah bersedia untuk memberitahu perkara tersebut kepada umum.

“Apa yang saya boleh beritahu, semuanya sihat, Alhamdulillah. Insya-Allah, kalau semuanya sudah pasti dan kami berdua juga sudah bersedia, perkara baik ini akan dimaklumkan kepada semua pada tahun ini.

“Apa yang saya dan isteri harapkan adalah doa-doa yang baik daripada semua pihak. Bila dah dapat persetujuan daripada empunya badan (isteri), saya akan beritahu nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Inpirasi PTTI 2024 yang diadakan di Hotel Le Meridien Putrajaya, semalam.

Pada masa yang sama, jelas MK, tiada sebab untuknya marah dengan tindakan segelintir pihak yang menyebarkan berita mengenai kehamilan isterinya terlebih dahulu kerana menganggap ia bukanlah satu perkara yang negatif.

“Saya tiada halangan kerana seperti yang kita tahu, media sosial ini orang akan sentiasa bercakap mengikut kebebasan mereka. Bagi saya, baik atau buruk tak perlu dijelaskan sebab lambat laun pun orang akan tahu.

“Saya tak kisah dan tak ambil hati pun kalau sesiapa mahu kongsikan. Kalau kongsikan benda baik, Alhamdulillah. Kalau kurang baik, boleh jumpa saya sendiri untuk bertanya.

“Tetapi, setakat ini, perkongsian baik saya okey. Cuma doakan kebaikan untuk saya dan isteri,”katanya.

Untuk info, pada 16 Jun tahun lalu MK dan Siti Hajaar selamat dinikahkan di Masjid Jamiul Huda, Ampang, Selangor dengan berwalikan bapa pengantin perempuan iaitu Allahyarham Datuk Seri Dr Syeikh Nordin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN