KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelawak, Achong Sweetchild, mengakui sebelum ini pernah menyuarakan rasa bimbang kepada isterinya, Marya Zuraida Zahari, mengenai kesibukan jadual kerja sahabatnya, Azlee Senario.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Achong berkata, dia berasa bimbang kerana tahu Azlee mempunyai sakit jantung meskipun ketika itu tidak terlalu serius.
“Sebenarnya, saya ada menyuarakan rasa bimbang kepada isteri apabila tengok kesibukan jadual kerja Azlee. Dia terlalu sibuk sehingga tiada masa rehat. Hari-hari ada kerja.
“Kita pun tahu, bila usia begini, badan pun tak macam dulu dah. Semakin meningkat usia, lagilah kena jaga kesihatan tubuh ini. Iyalah, bimbang juga dia tak ada masa rehat sebab asyik kerja.
“Tiba-tiba dapat perkhababaran malam kelmarin mengenai keadaan Azlee dalam ‘group Whatsapp’ kumpulan Otai yang kami masih kekalkan sejak masuk Maharaja Lawak Mega. Terkejut juga saya,”katanya.
Bagaimanapun, kata Achong, dia dan isteri lega kerana menerusi perkhabaran terkini,keadaan Azlee dilaporkan semakin stabil.
Dalam pada itu, kata Achong, banyak contoh di depan mata, merujuk kepada keadaan kesihatan rakan artis seusia menjadikannya lebih berhati-hati mengawal pemakanan dan menjaga kesihatan diri.
“Saya mula menjaga pemakanan sejak awal tahun lalu. Kalau dulu, tengah malam boleh makan nasi pukul 3 atau 4 pagi, sekarang saya ubah, elak makan lewat selain pilih menu lain.
“Kalau dulu lewat malam boleh makan kambing, nasi kandar dengan kuah banjir dan sebagainya, sekarang elak. Bila saya ubah cara pemakanan berat badan pun menunjukkan penyusutan juga. Lima kilogram turun, tak banyak, tetapi Alhamdulillah ada hasil.
“Bukan apa, saya ini ada masalah darah tinggi, jadi perlu lebih teliti bab sebegini. Itu yang membuatkan saya lebih berhati-hati,” katanya.