Azadan Rabbani lapor polis, minta berjaga-jaga taktik scammer guna namanya - Utusan Malaysia

Azadan Rabbani lapor polis, minta berjaga-jaga taktik scammer guna namanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya terima undangan ke majlis perkahwinan daripada individu yang saya tidak kenali menerusi aplikasi WhatsApp sebelum diminta memuat turun sebuah aplikasi dan mengisi maklumat yang diperlukan dalam aplikasi berkenaan.”

Itu penjelasan anggota kumpulan Rabbani, Azadan apabila identiti dan nombor telefonnya dimanipulasi scammer untuk melakukan penipuan.

Katanya, scammer berjaya menggodam sistem telefon bimbitnya menerusi pautan yang dihantar menerusi aplikasi berkenaan.

“Mesej tersebut saya terima tiga hari lepas, dihantar individu tidak dikenali yang meminta saya menekan pautan untuk memuat turun aplikasi berkenaan.

“Saya sempat menekan pautan tersebut namun tidak mengisi maklumat yang diminta. Saya curiga kerana tidak pernah menerima jemputan menghadiri majlis perkahwinan sehingga perlu mengisi maklumat menerusi aplikasi tertentu.

“Telefon bimbit saya mula digodam bermula malam Ahad lepas apabila skrin gagal berfungsi, selain muncul beberapa kata laluan berbentuk nombor pada paparan skrin dan aplikasi WhatsApp juga serta merta terkesan.

“Selepas itu saya mula dihubungi rakan yang memaklumkan mahu memindahkan wang setelah menerima mesej yang kononnya dihantar saya kepada mereka,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.

Azadan memaklumkan kira-kira 10 individu terjerat penipuan scammer berkenaan termasuk rakan industrinya dan juga usahawan, Fitri Haris, 40, yang mengalami kerugian sehingga RM2,000.

“Jumlah keseluruhan yang ditanggung mangsa-mangsa terbabit adalah antara RM700 hingga RM4000. Ini juga melibatkan rakan saya yang memindahkan wang dari luar negara.

“Saya mula sedar mesej penipuan itu disebarkan apabila didatangi penganjur persembahan kami malam Ahad lepas yang mahu menghulurkan bayaran persembahan secara tunai kerana menerima mesej tersebut.

“Selain itu saya turut dihubungi beberapa rakan artis yang lain termasuk Datuk Nash yang bertanyakan perihal tersebut.

“Selepas itu saya terus memuat naik peringatan di media sosial tentang penipuan itu sebelum memfailkan laporan polis pada keeseokkan harinya.

“Saya juga cuba adukan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia. Pihak mereka maklumkan kes ini diluar bidang kuasa mereka dan saya dinasihatkan membuat aduan terus kepada pengendali aplikasi WhatsApp,” kongsinya.

Ujar Azadan lagi, disebabkan perkara itu, dia terpaksa mendaftarkan nombor telefon baharu selain mencari jalan untuk memulihkan masalah telefon bimbitnya.

“Buat masa ini saya masih boleh dihubungi nombor lama atau menerusi laman sosial rasmi Rabbani seperti di Facebook dan Instagram.

“Selain itu, sebarang pertanyaan tentang Rabbani buat masa ini juga boleh diajukan kepada Asri Ubaidullah di talian 0192761557,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya