Artis pro-Zionis tidak layak masuk Malaysia - Awie

Artis pro-Zionis tidak layak masuk Malaysia – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi rock, Datuk Awie, menyokong tindakan untuk memboikot konsert artis antarabangsa yang memihak kepada rejim Zionis.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 56, tindakan tersebut adalah perlu bagi menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap prinsip membela rakyat Palestin.

“Saya setuju untuk kita boikot artis luar yang sokong gerakan Zionis, mereka tidak layak masuk ke malaysia.

“Kita tidak perlu agungkan artis yang menyokong keganasan Israel. Ia terlalu jauh dengan prinsip dan konsep persaudaraan yang kita pegang bersama Palestin,” katanya.

Datuk Awie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gerakan boikot konsert artis pro-Zionis yang semakin mendapat perhatian.

Bukan itu sahaja, penyanyi Iris itu juga merasakan masyarakat tidak perlu ambil pusing sekiranya timbul persepsi negatif dalam kalangan artis luar negara akibat gerakan boikot ini.

“Teruskan boikot, persepsi dari mereka (artis pro-Zionis) tentang negara ini tidak perlu dirisaukan.

“Mereka hanya artis. Ramai lagi selebriti lain yang sealiran dengan kita dan menyokong Palestin. Kita perlu tegas untuk halang kemasukan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, menerusi satu video di Instagram, penyanyi, Datuk Hattan, menasihati orang ramai agar tidak menghadiri konsert penyanyi antarabangsa pro-Israel.

Ujarnya lagi, masyarakat perlulah mengutamakan konsert artis tempatan berbanding artis luar negara.

Sebelum ini, penganjur konsert penyanyi antarabangsa Bruno Mars, Live Nation Malaysia, dikecam kerana membawa masuk artis yang dikatakan menyokong Israel.

Malah, Mars dikatakan menyatakan sokongan terhadap Israel ketika konsertnya di Tel Aviv, Oktober tahun lalu.

Mars dijadualkan mengadakan konsert di Malaysia pada 17 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN