KUALA LUMPUR: Setiap penyanyi perlu membuat perubahan dalam muzik setiap tiga tahun jika mahu kekal relevan di dalam industri.
Perkara itu ditekankan oleh penerbit lagu dan komposer, Edry Abdul Halim yang turut mendakwa masyarakat akan muak dan mudah mengalihkan tumpuan kepada bakat baharu jika seseorang penyanyi tidak menunjukkan pembaharuan dalam tempoh itu.
“Sebagai artis dalam mana-mana bidang sekalipun tidak boleh berhenti berlatih dan belajar. Bila berhenti belajar, itu sahajalah kebolehan yang anda ada.
“Dalam dunia hiburan, paling maksimum tiga tahun sahaja seseorang itu bertahan. Selepas itu masyarakat akan jadi lemau dan mahu tengok muka baru.
“Bila artis tidak berubah, akan ada orang lain yang datang dan membawakan muzik lebih segar. Ketika itu anda akan hilang,” katanya.
Edry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lambakan bakat baru yang muncul daripada aplikasi media sosial pada hari ini.
Selain itu, pengasas kumpulan KRU ini juga mengakui kehadiran aplikasi TikTok melahirkan ramai bintang baharu.
Namun, mereka dinasihati untuk mempertajamkan ilmu dengan belajar daripada mereka yang berpengalaman.
“Dahulu sangat susah untuk jadi artis rakaman. Bila dapat sahaja, kecoh akan beritahu satu kampung. Mereka pula diberi nasihat tentang penampilan dan nama pentas.
“Kemudian kita akan beralih ke fasa rancangan realiti di mana ada cikgu yang mengajar. Ketika konsert pula ada juri yang akan mengadili. Kini, zaman media sosial pula.
“Namun, apa yang sama di semua evolusi ini ialah setiap artis memang memerlukan pandangan daripada orang yang berpengalaman jika mahu berjaya.
“Sebelum orang luar petik kesalahan kita, lebih baik dapatkan pandangan profesional,” katanya yang memuji kumpulan Masdo dan Bunga kerana mempunyai identiti muzik yang kuat.
Dalam pada itu, bukan hanya muzik, malah penyanyi hari ini juga perlu akur bahawa kehadiran TikTok menyebabkan masyarakat mahukan seseorang artis menonjolkan sisi peribadi mereka.
“Era berubah, kini penyanyi melompat ke TikTok dan melahirkan kerjaya lain iaitu pencipta kandungan.
“Kita tidak boleh salahkan jika ada pempengaruh yang buat lagu dan jadi artis. Sama juga ada juga ada artis yang menjadi pempengaruh.
“Ini zon mereka sekarang. Selain lagu, masyarakat juga mahu tahu personaliti mereka dan kehidupan mereka,” katanya.