TIDAK pernah ada istilah terlewat untuk orang yang ingin berubah dan keluar dari ‘tempurung kelapanya’ selama ini.
Itulah yang dirasakan pemilik sebenar nama Alvin Chong Chean Wah selepas 17 tahun berada dalam industri seni negara.
Jika selama ini jejaka berumur 33 tahun ini menggunakan nama pentas sebagai Alvin Chong sama ada dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.
Hari ini, jejaka asal Pulau Pinang itu menjenamakan identitinya yang kini dikenali sebagai ALVN.
Menurut ALVN, penjenamaan itu adalah signifikan memandangkan dia kini berhasrat meluaskan kolaborasi dalam muzik dan pendengar baru secara global.
“Selama ini bila sebut nama Alvin Chong, orang akan ingat saya sebagai seorang pelakon berbanding penyanyi.
“Dalam bidang nyanyian, saya kemudian berbincang dengan label iaitu Universal Music Malaysia untuk menukar jenama dan nama. Maka terlahirlah ALVN.
“Nama itu saya pilih inspirasi daripada penyanyi JVKE yang terkenal dengan lagu Golden Hour.
“Kalau selama ini peminat sudah biasa dengan nama ‘Alvinchong123’ di media sosial, saya percaya lama-kelamaan mereka akan sesuaikan diri dengan nama ALVN,” katanya yang sudah menggunakan nama barunya itu sejak September tahun lalu.
Menurut ALVN lagi, bukan hanya nama yang berubah tetapi muzik yang dihasilkan juga akan berbeza iaitu lebih santai dan senang didengari.
ALVN akan memberi fokus kepada lagu bahasa Inggeris memandangkan lagu bahasa Melayunya kurang mendapat sambutan sebelum ini.
“Bulan Julai nanti saya akan terbitkan album baru yang memuatkan lapan lagu semuanya dalam bahasa Inggeris.
“Bila saya menghadiri acara fesyen luar negara dan berjumpa orang baru, ramai yang suka dengar lagu saya tapi mereka tidak faham. Harapnya dengan album ini ramai akan boleh dengar.
“Saya pernah cuba buat lagu bahasa Melayu tapi tidak menjadi. Bagaimanapun saya ada cadangan untuk hasilkan lagu single Bahasa Melayu nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bercakap tentang dunia lakonan, ALVN mengakui memang sudah jarang berlakon walaupun menerima beberapa tawaran. Kali terakhir dia dilihat di kaca televisyen adalah pada tahun 2022.
Namun begitu, pada tahun ini, ALVN akan kembali membintangi sebuah drama terbitan Astro sebagai watak utama yang tidak didedahkan judulnya.
Kekal muda sampai 50 tahun
Menurut penyanyi Over Again itu lagi, tidak terikat dengan komitmen penggambaran membolehkannya menjaga rutin harian lebih baik.
ALVN mengakui sangat menitik beratkan penampilan fizikal dan kesihatan apalagi sudah menginjak usia 33 tahun.
“Sekarang jika mahu beli barang masak di akan baca label kandungan apa yang ada di dalamnya.
“Makin berusia memang saya jaga badan. Impian saya ialah hendak kekalkan wajah begini sampai umur saya 50.
“Oleh itu saya selalu bersenam dan tidur awal. Setiap hari pukul 10:30 malam saya sudah tidur dan bangun awal. Selain itu saya selalu bersenam,” tambahnya.