LOS ANGELES :Laman rasmi dan akaun X milik penyanyi rap antarabangsa, 50 Cent digodam pihak tidak bertanggungjawab dengan modus operandi memperdaya pengikutnya pada Jumaat lalu.
50 Cent atau Curtis James Jackson III, 49, berkata, penggodam tersebut memuat naik promosi berbentuk penipuan dan berjaya mengaut keuntungan sebanyak AS$3 juta atau RM13 juta dalam tempoh 30 minit.
Jelas penyanyi lagu In Da Club itu, dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penipuan kripto dan pihak pengurusan X sudah pun menyekat akaun miliknya.
“Akaun Twitter (aplikasi X) dan Thisis50.com saya telah digodam. Saya tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti kripto.
“Twitter mengambil tindakan pantas dengan menyekat akaun saya namun penggodam berjaya mengaut keuntungan sebanyak AS$3 juta dalam masa 30 minit,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Untuk info, penggodam mempromosikan penipuan token pump-and-dump cryptocurrency dengan mencipta kripto baharu iaitu GUNIT dan menggunakan pengaruh di aplikasi X milik 50 Cent yang mempunyai sebanyak 12.9 juta pengikut.
Tujuan utama mereka adalah untuk menarik lebih ramai pelabur dan menaikkan harga sebelum mengurangkan nilainya. Harga token kemudian jatuh kepada AS$0.00016.