Setakat bersalut lumpur, berembun dan membaca bahasa hutan bukanlah perkara asing bagi pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy.
Sejak berumur 9 tahun, dia sudah pun menyarung seragam Pengakap dan diajar perihal kemahiran kelangsungan hidup. Bahkan sehingga kini, dia merupakan ahli komuniti Pengakap Udara Malaysia yang diajar mengendalikan situasi genting dalam kenderaan udara.
Semasa pengarah Ngesot, Ayez Shaukat, berhasrat menghasilkan sebuah filem dengan genre survival yang asing di Malaysia, Zul Huzaimy adalah pilihan yang tepat menjadi pelakon utama kerana perlu mengesot dan bermandi lumpur tanpa mengeluh sedikit pun.
Bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-21 itu, memakai karakter Syazwan yang hilang di dalam hutan adalah peluangnya berkongsi ilmu yang dimiliki kepada penonton dengan perbincangan bersama pengarah.
“Hutan adalah tempat yang dekat dengan diri saya sebab selalu berburu, memancing dan juga berkelah. Satu perkara tentang hutan, kita tidak boleh bercakap besar dan ia tempat yang penuh dengan pantang larang.
“Dalam cerita Ngesot, saya bawakan watak lelaki sakit di mana kakinya terkulai akibat kemalangan. Jadi dia harus mengengsot mencari jalan keluar.
“Jika seseorang itu menghadapi situasi begini, kakinya perlu diapit dengan kayu seperti yang anda tonton dalam naskhah ini.
“Bukan itu sahaja, kami juga tunjukkan ilmu hutan di mana jika daun itu tidak disentuh binatang, jangan makan. Sama juga seperti air, jernih bagaimana sekalipun, tapi jika tiada hidupan dan tumbuhan yang hidup di situ, jangan minum,” katanya.
Bagi pelakon asal Gerik, Perak ini, ilmu kelangsungan hidup bukanlah tentang situasi cemas di dalam hutan semata-mata.
Sebaliknya memberi penekanan tentang faktor keselamatan yang perlu diambil bagi mengelak perkara tidak diingini terjadi.
“Orang ingat pengetahuan tentang kemahiran penting untuk bertahan hidup semata-mata. Tapi yang jauh lebih penting ialah bagaimana ilmu ini dapat menjaga kita daripada berlaku kemalangan.
“Contohnya kalau pergi memancing kena bawa lampu suluh dan pakai jaket keselamatan. Kita tak tahu mungkin enjin bot bermasalah dan kita mungkin berada di sana sehingga malam.
“Saya pernah ada kawan yang selalu pakai jaket keselamatan semasa memancing. Tapi ada satu hari, dia tiba-tiba tanggalkan jaket. Malang tidak berbau, hari itulah dia meninggal kerana lemas ketika memancing,” jelasnya.
Jumlah kutipan bukan satu-satunya penanda aras
Mengakui genre filem sebegini masih baru berbanding genre filem seram dan komedi romantik yang lebih banyak mengisi panggung, Zul bagaimanapun merasakan kehebatan sesuatu naskhah tidak wajar diukur dengan jumlah kutipan semata-mata.
“Saya akui genre survival masih baru dan mungkin lambat untuk diterima. Tapi filem ini mungkin tidak ditonton sekarang, tapi di masa akan datang kita tidak tahu bagaimana nasibnya. Filem ialah sesuatu yang boleh hidup selama beratus tahun.
“Filem ini jalan ceritanya menarik cuma ada masalah dari segi bajet. Jika bajetnya lebih sejuta, banyak lagi yang boleh diteroka. Apapun, ia bukan filem yang busuk,” tambahnya.
Zul berpendapat, industri perfileman negara dalam tempoh beberapa tahun ini menunjukkan sebuah evolusi yang membanggakan sekali gus meyakinkan penonton untuk menyokong naskhah tempatan.
“Industri filem sekarang lebih meriah dan tiada main-main. Saya tahu filem Sheriff meletup dan ia naskhah yang bagus.
“Kalau dulu ada lapan filem keluar, enam daripadanya cerita yang tidak bagus. Kini, semua yang keluar, semuanya bagus walaupun dengan bajet yang minimum.
“Begitu juga dengan penggiat seni. Mahasiswa di universiti hari ini pun sudah mempunyai idea yang menarik dan gila. Semoga keadaan ini akan berterusan kerana sangat sihat untuk pertumbuhan industri,” katanya.