BANGI : Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel mendedahkan, dia tidak pernah membayangkan untuk menyakiti hati Wawa Zainal apatah lagi dengan menduakan isterinya itu.
Bukan mahu bercakap besar, tetapi kata Aeril, dia tiada alasan untuk mengenali mana-mana wanita lain memandangkan baginya, Wawa sudah cukup melengkapi hidupnya.
“Bagi saya, Wawa sudah cukup cantik di mata saya. Saya tidak pernah ada niat untuk ada orang ketiga dalam hidup saya, tetapi kalau ada ‘bisikan’ yang tidak baik saya akan ingat pada anak-anak.
“Nak cakap wujud atau tidak cubaan orang ketiga, saya tidak boleh nak jawab sebab kalau orang suka kita dalam diam, manalah kita nak tahu kan?
“Cumanya kalau kita tidak melayan, perkara itu tidak akan terjadi,”katanya.
Aeril berkata demikian ketika majlis Rumah Terbuka Wawa Nostalgia Raya yang diadakan di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Selain itu, kata Aeril, dia tidak mahu menghancurkan kebahagiaan yang telah dibina kerana percaya kifarah itu wujud.
“Saya lebih senang untuk memikirkan masa depan. Saya juga tak mahu rosakkan apa yang sudah dibina selama ini, hanya dengan kesilapan diri sendiri.
“Saya pun yakin, Wawa pun akan buat perkara sama memandangkan dia seorang yang setia.
“Saya percaya kalau bual hal yang tidak baik, mesti kena karma. Apabila ia berlaku susah nak patah balik. Malah sudah tentu kepercayaan si isteri juga akan hilang.
“Jadi pada pandangan saya, jangan pernah ada niat untuk buat sesuatu yang kita sendiri pun tak boleh nak kawal,”katanya.