Tipulah kalau saya kata tak rindu berlakon - Iqram Dinzly - Utusan Malaysia

Tipulah kalau saya kata tak rindu berlakon – Iqram Dinzly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON dan pempengaruh media sosial, Iqram Dinzly sememangnya antara selebriti negara yang paling banyak terpalit dengan kontroversi.

Itu adalah hakikat yang kita tidak boleh nafikan setelah sebelum ini pelbagai cerita sensasi yang kita tengok dan baca mengenai pemilik nama penuh Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin ini.

Namun kita juga harus akui bahawa Iqram, dalam terpalit cerita sensasi, merupakan seorang pelakon yang bakatnya terlalu besar.

Ini terbukti menerusi persembahan lakonannya dalam filem dan drama yang dijayakannya sebelum ini antaranya seperti Dunia Baru The Movie, 1957: Hati Malaya, Legenda Budak Setan 3 dan banyak lagi.

Namun sebelum ini, bakat Iqram tenggelam dek kontroversi dan cerita sensasi yang menyelubungi kehidupannya.

Ketika bertemu pelakon ini sempena acara larian kelolaan Asics di Universiti Malaya baru-baru ini, saya sempat bertanyakan kepada Iqram adakah dia masih menyimpan cinta terhadap dunia lakonan.

Katanya, mungkin hatinya sudah tawar untuk menjadi Iqram Dinzly yang masyarakat kenal sebagai pelakon.

“Tipulah kalau saya kata saya tak rindu kepada dunia lakonan. Cuma, sekarang saya rasa terasing daripada dunia tersebut.

“Apa yang boleh saya katakan, tak perlulah rindukan Iqram Dinzly yang orang kenal sebagai pelakon. Rindukanlah saya sebagai Prinx Chiqy.

“Saya sudah tidak mampu menjadi Iqram Dinzly sebab orang-orang yang pernah bersama saya ketika saya aktif berlakon dahulu kebanyakannya sudah kembali ke rahmatullah,” kongsinya.

Kata pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini, dia buat masa ini tiada perancangan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut dan lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada bidang yang lain.

“Filem Korsakoff itu mungkin yang terakhir, yang kemuncak bagi seorang yang bernama Iqram Dinzly. Cukup-cukuplah.

“Saya selepas ini hanya mahu dikenali sebagai Prinx Chiqy,” jelasnya.

KEMBANGKAN PERNIAGAAN DI SINGAPURA

Bercerita tentang perniagaan sambal, Iqram bersyukur kerana produk keluarannya itu mendapat sambutan yang menggalakkan di Singapura.

Katanya, ketika ini dia sedang menumpukan untuk mengembangkan perniagaan tersebut di negara itu.

“Alhamdulillah, saya telah perkenalkan produk sambal baharu pada bulan Ramadan lepas dan Insya-Allah akan muncul dengan produk yang lain selepas ini.

“Saya nak mula secara kecil-kecilan, tak mahu terus kejar untung sebab saya terlebih dahulu nak belajar cara berniaga.

“Perniagaan ini pun masih baru, saya mulakan sejak setahun yang lalu,” jelasnya.

Iqram dalam masa yang sama tidak menolak kecaman yang terlalu banyak diterimanya di Malaysia membuatkan dia lebih selesa mengembangkan perniagaan tersebut di Singapura.

“Di Malaysia, saya dikecam dan difitnah. Jadi saya kena berhijrah apabila terlalu banyak perkara negatif yang menimpa saya di negara sendiri.

“Bukanlah saya tak sayangkan tanah air sendiri. Saya cuma nak keluar dari zon selesa.

“Alhamdulillah, orang Singapura sokong perniagaan saya. Bukan di Malaysia tak ada yang sokong, tapi lebih banyak kecaman dan fitnah yang saya dapat,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya