NEW YORK: Peminat dan penggiat seni kreatif dunia hiburan Hollywood dikejutkan dengan ‘kehadiran’ penyanyi terkemuka, Katy Perry yang kononnya turut berada di majlis hiburan berprestij dunia, Met Gala 2024 yang berlangsung di Muzium Seni Metropolitan New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Dihadiri ramai artis terkenal dunia, acara dengan tema Sleeping Beauties: Reawakening Fashion itu bagaimanapun sebenarnya tidak dihadiri oleh Katy sekali gus mengesahkan bahawa segala gambar yang disebarkan di media sosial adalah palsu.
Menurut laporan media tempatan, gambar yang dimuat naik oleh Katy di akaun Instagram sebenarnya telah dijana dengan teknologi buatan (AI).
Mendapat tanda suka sebanyak 207 juta, Katy menerusi gambar AI tersebut ‘berjaya’ memperdaya ramai pengikutnya yang rata-rata memuji busana yang kononnya digayakan untuk acara itu.
Bagaimanapun, hanya beberapa jam kemudian, baharulah penyanyi lagu Fireworks itu membuat kenyataan bahawa dia tidak hadir ke Met Gala dan gambar tersebut adalah palsu.
“Sebenarnya saya tidak hadir ke Met Gala kerana saya terpaksa bekerja,” jelasnya dalam kenyataan.
Menerusi gambar tersebut, Katy dipaparkan sedang menggayakan busana yang dipenuhi warna putih kononnya bagi menepati tema yang ditetapkan pada majlis berprestij itu.
Selain peminat dan pengikut, gambar palsu itu juga telah membuatkan ibunya, Mary Perry, turut percaya bahawa anaknya itu berada di majlis berkenaan dan sedang menjadi perhatian ramai.
“Gaun yang cantik, anda seperti Rose Paradise,” kata ibunya menerusi mesej yang dikongsikan.
“Itu adalah daripada AI, awas,” respons Katy.
Dalam pada itu, bagi mengelak kontroversi daripada berlarutan, Katy juga memuat naik satu lagi hantaran video di media sosial yang menunjukkan dirinya sedang berada di sebuah studio muzik sebagai bukti ketidakhadirannya ke Met Gala.