KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, 31,menerima dengan hati terbuka seandainya ada pihak tersalah anggap bahawa dia telah berhenti memberikan sokongan kepada saudara Islam di Palestin gara-gara kerap kali dilihat bekerjasama dengan jenama-jenama pro-Israel.
Menerusi hantaran di Instagram Story (Igs), Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin percaya bahawa setiap individu mempunyai cara masing-masing dalam membela nasib rakyat di Palestin.
“Allah tahu. Setiap orang ada cara dan ujian masing-masing. Reda Allah, Dia sahaja yang tahu.
“Saya tidak pernah sesekali lupa akan saudara saya di Palestin. Saya minta maaf jika cara saya tak bertepatan dengan apa yang and mahukan. Tak apa, saya terima segala kecaman,”katanya.
Menerusi beberapa hantaran di IGs, Daiyan juga dilihat berkongsi lampiran pelbagai resit sumbangan berbentuk kewangan yang telah dilakukannya kepada beberapa medium Badan Bukan Kerajaan (NGO) demi membantu rakyat Palestin.
Antaranya, Mercy Malaysia, Global Peace Mission Malaysia (GPM), Cinta Gaza Malaysia dan Pertubuhan Viva Palestina Malaysia dengan jumlah keseluruhan sumbangan tersebut mencecah RM100,000.
Dalam pada itu, Daiyan turut memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang meneruskan perjuangan dalam membela nasib saudara Islam di Palestin.
“Sila teruskan perjuangan anda untuk saudara-saudara kita di Palestin dengan pelbagai upaya kerana itulah yang paling penting sekali.
“Ini cara saya yang termampu pada masa ini berdasarkan situasi dan keadaan. Saya minta maaf. Saya akan cuba untuk usaha lagi dengan lebih baik. Segala doa untuk Palestin,”katanya.
Terdahulu, nama Daiyan dikatakan berada dalam senarai gerakan boikot selebriti di media sosial yang dinamakan sebagai Blockout2024.
Pada awalnya, gerakan itu dilakukan terhadap golongan selebriti antarabangsa yang tidak bersuara mengenai nasib penduduk di Palestin dan ia dimulakan secara besar-besaran pada pertunjukan fesyen tahunan Met Gala 2024 yang berlangsung di Muzium Seni Metropolitan New York pada 6 Mei lalu.
Disebabkan gerakan tersebut, bintang realiti Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosialnya diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez.