KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim memaklumkan dia tidak pernah menghilang atau berhenti dari dunia industri seni sebagaimana yang disangka ramai sebelum ini.
Sarimah berkata, perubahan kariernya bermula selepas dia menerima tawaran menjadi penyampai radio berbahasa Inggeris menyebabkan dia tidak aktif dalam industri bahasa Melayu.
“Saya rasa, dari tahun 2009 hingga 2010, saya agak aktif dan masa itu ada program Akademi Fantasia (AF). Kemudian saya habis kontrak dengan Astro hujung 2010 dan terima tawaran jadi penyampai radio untuk siaran bahasa Inggeris.
“Saya tak boleh tolak tawaran masa itu sebab ia satu peluang yang baik. Saya pula ketika itu nak simpan duit lebih banyak untuk diri sendiri, nak beli rumah. Kontrak itu berakhir 2012, dapat tawaran stesen radio lain.
“Stesen radio itu ambil saya selama dua tahun. Jadi, suka untuk saya katakan, saya ini tak pernah hilang. Cuma saya tak muncul dalam industri bahasa Melayu. Saya masih ada, dalam pada masa sama, saya sangat gembira.
“Kalau sebelum ini sasaran cuma pada pasaran Melayu saja, bila sertai radio itu saya dapat kembangkan lagi kerjaya saya yang mana semua rakyat Malaysia ada. Cuma peminat Melayu ingat saya hilang, sebab mereka tak dengar radio bahasa Inggeris,” katanya.
Sarimah berkongsi perkara itu ketika ditemui sesi private luncheon bersama media di Red Chinese Cruisine, Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre (KLCC) baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sarimah memberitahu dia mula berehat dari industri selama dua tahun sekitar 2015 disebabkan mahu memberi tumpuan kepada rumah tangga dan mengandung.
“Pada penghujung 2015, saya kahwin pula. Saya tinggalkan dunia radio Inggeris untuk fokus kepada rumah tangga selama dua tahun, lepas itu nak hamil pula. Jadi kena usaha, sambil buat kerja pengacaraan.
“Saya ada buat beberapa kemunculan dalam bidang pengacaraan sebab nak fokus kepada keluarga dan cuba hamil. Alhamdulillah, saya hamil 2018 dan bila bersalin pula masa itu dunia sedang Covid.
“Lepas itu, dua tahun tak buat apa-apa. Tapi saya buat sesuatu yang bermanfaat. Saya mula terlibat dengan kesihatan mental, kerja dengan MIASA dan keluar lagu dengan Damien ‘Harapan’.
“Sambil itu juga saya ada sertai badan bukan kerajaan (NGO) Empaty. NGO yang kecil tapi sangat bersemangat untuk wujudkan kemahiran empati dalam masyarakat kita,” ujarnya.