KUALA LUMPUR : Pelakon, Lana Nodin, 44, menggesa rakan artis dan selebriti supaya berusaha meningkatkan tahap kesedaran masing-masing selain tidak perlu bimbang akan kehilangan tawaran kerjasama dengan mana-mana syarikat atau jenama pro-Israel.
Menurut Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hassan Nodin, selebriti seharusnya menggunakan platfrom dan kedudukan sebagai figura awam bagi memberi contoh tauladan yang baik dan bermanfaat kepada orang ramai.
“Artis-artis di Malaysia ini kena juga mainkan peranan, jadi ‘role-model’. Kalau sudah tahu sesebuah acara atau majlis itu dianjurkan oleh jenama pro-Israel, tak perlulah hadir atau sokong.
“Model terkemuka Hollywood pun sanggup tolak tawaran dan kontrak kerjasama dengan jenama terkenal atas dasar kemanusiaan. Tetapi awak pula sanggup tak nak lepaskan kontrak atas dasar kononnya itu rezeki.
“Salah, rezeki awak bukan datangnya dari mereka. Rezeki datangnya dari Allah SWT, kena percaya itu,”katanya.
Lana berkata demikian dalam satu perkongsian video yang dimuat naik di Instagram semalam.
Selain itu, Lana juga mengakui kurang faham dengan tindakan segelintir artis tempatan yang begitu bimbang melepaskan tawaran kontrak termasuk ada yang mengugut mahu membuat laporan polis jika dikecam warganet.
“Tak mati pun kalau tak pakai barang jenama itu atau terima kontrak mereka. Kenapa? Miskin sangatkah? Percayalah awak tak akan miskin. Miskin lagi anak-anak Palestin yang sedang menderita di sana.
“Saya dulu dengan Rita Rudaini, kena kecam pasal vaksin, tak ada ‘job’, reda saja kami ini. Tak ada pun sampai nak buat laporan polis.
“Bahkan saya kehilangan 80,000 pengikut di media sosial dan kena ‘shadow banned’ selama enam bulan manakala Rita pula setahun. Kami relaks saja. Jadi awak nak takut apa? Masih fikir nak glamor lagi? Sudah-sudahlah, tolonglah sedar semua,”katanya.
Dalam pada itu, Lana berharap, golongan artis berhenti bersikap hipokrit dan melakukan sedikit jihad dengan cara memboikot jenama-jenama yang menyokong zionis.
“Walaupun tak pergi sana untuk berjihad, sekurang-kurangnya awak boleh boikot barangan mereka. Tolonglah rakan artis, jangan jadi bodoh. Jangan pilih perjuangan yang salah.
“Apa salahnya lakukan sedikit pengorbanan yang kita tahu ganjarannya ada dan ia sangat efektif. Kalau rasa tak kuat, awak buka sahaja video-video mengenai Palestin di media sosial.
“InsyaAllah, lama-lama kalau tengok awak akan dapat kekuatan itu. Ini tidak, semuanya hipokrit. Muat naik pasal Palestin tapi bila suruh lepaskan tawaran kontrak menggelupur. Tak payah nak neutral sangat, cuba bayang jadi pada anak-anak atau keluarga awak,”katanya.