Politik dan artis - Utusan Malaysia

Politik dan artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA politik sama juga seperti bidang seni, ada warna warninya sendiri. Apatah lagi, di kala ini, pengaruh penggiat seni memungkinkan mereka untuk ditawarkan bertanding merebut kerusi sebagai wakil rakyat.

Sebagai contoh kejayaan, pelakon, Dira Abu Zahar menjadi selebriti pertama bergelar wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Rim pada 2021. 

Manakala, tahun lalu, penyanyi, Altimet juga berjaya memenangi kerusi DUN Lembah Jaya dengan majoriti 6,678.

Penglibatan rakan-rakan artis lain antaranya Datuk Afdlin Shauki, Datuk Aishah, Shahrol Shiro dan ramai lagi membuktikan pentas politik terbuka kepada semua.

Ayuh kita selidiki, adakah beberapa nama prolifik dalam industri seni bersedia menggalas tugas sebagai wakil rakyat.

Saya lahir untuk bergelar pelakon – Rosyam Nor

Bagi pelakon prolifik, Datuk Rosyam Nor, menggalas tanggungjawab sebagai ahli politikk bukan satu tugas mudah apatah lagi dengan komitmen kerja sedia ada dan peranan sebagai ketua keluarga menutup jalan ke arah itu.

Biarpun tidak pernah didatangi tawaran untuk bergelar wakil rakyat, Rosyam dari awal sudah berkata tidak dan menolak seandainya ada pihak yang mungkin berminat membuka jalan untuk dia bergelar ahli politik.

“Jadi ahli politik nak buat apa, saya pelakon. Untuk menjadi wakil rakyat, saya rasa kerja itu bukan untuk saa. Saya sudah ditakdirkan menjadi pelakon. Tak semua orang boleh menjadi ahli politik.

“Satu kerja, tanggungjawab yang sangat berat. Menjaga rakyat itu memerlukan komitmen siang malam pagi petang. Saya bukan untuk itu. Kerja sekarang pun sudah bertimbun, menuntut mas yang tinggi.

“Kalau jadi wakil rakyat belum ada lagi, mungkin mereka tahu saya tidak berminat. Tetapi ada pihak pernah suruh saya bertanding bagi persatuan-persatuan seni. Saya menolaK. Saya tak mampu galas peranan itu,” ujarnya.

Kongsi pelakon Memoir Seorang Guru itu lagi, dia sebagai ahli juga tidak memberi komitmen yang tinggi dan hanya hadir ke mesyuarat beberapa kali setahun sebagai tanda sokongan kepada persatuan seni.

“Menjadi presiden persatuan itu sama sahaja seperti menjadi ahli politik, kena jaga ahli. Kebajikan, masalah mereka. Jadi saya tidak fikir saya boleh galas tanggungjawab besar seperti itu.

“Saya sendiri tidak pernah cakap persatuan itu ini sebab penyertaan saya dalam aktiviti tidak kerap. Persatuan ini kuat bukan hanya kerana jawatankuasa tertinggi, tetapi ahlinya. Jadi tak boleh tuduh itu ini.

“Cuma saya sebagai ahli, jika ada mesyuarat insya-Allah saya akan hadir beri sokongan. Kalau mengalas sebarang jawatan itu, tidak apalah. Bukan kerja saya,” katanya.

 

Maaf, saya tak berminat jadi YB – Awie

Mendedahkan pernah ditawarkan jawatan dalam sebuah parti, legenda rock tanah air, Datuk Awie menolak sebarang tawaran atau permintaan untuk dia bergelar seorang ahli politik atau wakil rakyat.

Jelasnya, sebagai anak seni, dia mempunyai tugas sendiri terutama kepada peminatnya sementelah nama dan kumpulannya, Wings masih releven serta  menuntut komitmen masa yang tinggi.

“Dulu-dululah, ada sahaja orang datang tawarkan saya untuk bergelar ahli politik. Sekitar tahun 90-an. Tetapi saya tanya arwah bapa dulu. Dia nasihat supaya lupakan sahaja tawaran itu, jadi saya ikut.

“Bagi saya, secara peribadi, bergelar ahli politik itu boleh memecah belahkan kalangan peminat kita yang masing-masing ada pegangan parti sendiri. Jadi lebih baik saya fokus kerjaya seni sahaja,” ujarnya.

Mengulas perkara itu, Awie menasihatkan rakan artis yang mahu bergelar ahli politik supaya memfokuskan kerja sebagai wakil rakyat dan ‘melupakan’ sementara tugas sebagai anak seni.

“Berpolitik itu hak individu. Negara kita memberi kebebasan untuk kita menyokong parti pilihan. Gunakan platform itu sebaiknya dah jangan menyinggung mana-mana pihak. 

“Kalau ada rakan artis saya yang mahu jadi ahli politik, semoga berjaya. Cuma nasihat saya, tinggalkan industri seni dan fokus kepentingan rakyat,” kongsinya.

 

Tak pernah terfikir jadi wakil rakyat – Anna Ngasri

Penglibatan pelakon, Datin Anne Ngasri dalam bidang politik bukan perkara baharu. Menyandang jawatan Exco Wanita UMNO, aktres itu bagaimanapun tidak mahu bertanding sebagai wakil rakyat.

Jelasnya, penglibatannya sebagai Exco Wanita UMNO adalah sebagai cara untuk dia berkhidmat kepada masyarakat tanpa bertanding untuk meraih undi penduduk di sesebuah kawasan.

“Saya cuma mahu bantu dan berkhidmat kepada masyarakat. Kala nak bertanding itu semua, saya tiada perancangan ke arah itu.

“Tak pernah terfikir pun nak bertanding jawatan apa-apa, saya anggap itu rezeki. Biarlah saya menjadi tunggak sokongan kepada mereka yang bertanding sebagai wakil rakyat,” kongsinya.

Tambah pelakon Penyair Malam itu, dia tidak pernah meletakkan impian atau cita-cita yang tinggi sebaliknya sebagai seorang manusia, dia mahu terus menyantuni masyarakat yang memerlukan khidmatnya.

“Bila saya turun padang, saya dapat nikmati satu perasaan yang sangat indah. Sebelum ini, saya hanya berlakon dalam drama babak membantu orang. Kita tak dapat lihat senyuman berterima kasih secara ikhlas.

“Bila saya berjumpa dengan pelbagai peringkat masyarakat, situasi itu memberikan kesedaran kepada saya sebagai seorang manusia.

“Walaupun ada yang tak suka dengan kerjaya ahli politik, pada saya mereka melihatnya daripada sudut lain. Bila saya turut padang, itu sangat dekat di hati saya,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya