KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejayaan menerusi filem Vina: Sebelum 7 Hari, penerbit produksi Dee Company, berdepan dengan dakwaan bahawa dia cuba mengambil kesempatan mengenai kejadian sebenar kisah Vina itu demi kepentingan peribadi.
Dakwaan itu dibuat oleh pengendali akaun instagram, @voltcyber_v2, terhadap penerbit produksi Dee Company iaitu Dheeraj Kalwani yang turut dituduh cuba menyembunyikan Linda, rakan kepada Allahyarham Vina.
“Kenapa perlu berusaha dan membayar Linda untuk bersembunyi? Untuk tujuan apa?,” soalnya menerusi hantaran tersebut.
Selain itu, pengendali akaun itu juga menyentuh beberapa kemungkinan mengenai alasan Dheeraj yang menyembunyikan Linda atas faktor kepentingan ekonomi.
“Pihak produksi di bawah Dheeraj ini mungkin sengaja menyembunyikan konflik ini demi kepentingan keuntungan peribadi semata-mata,” jelasnya.
Berikutan dakwaan yang tular, Dheeraj Kalwani kemudiannya tampil memberi jawapan menerusi saluran tvOneNews dengan harapan supaya isu ini tidak dipanjangkan.
Difahamkan, Dheeraj juga tidak menyangka dakwaan liar seperti ini timbul memandangkan filem terbitannya itu baru sahaja ditayangkan.
“Filem ini baru sahaja ditayangkan tetapi sudah pun mendapat kecaman daripada netizen.
“Untuk memberi jawapan kepada semua persoalan ini, saya akan menjemput keluarga Vina dan Linda untuk memberi keterangan yang lebih jelas, kelak,” ujarnya.
Untuk info, filem Vina: Sebelum 7 Hari menceritakan kisah benar yang menimpa seorang gadis bernama Vina bersama pasangannya Eky yang ditemui mati di tepi jalan Cirebon, Jawa Barat, tanggal 27 Ogos 2016.
Pada awalnya, kejadian itu disangkakan kemalangan sahaja. Namun, kecederaan yang berlaku ke atas Vina itu mula menimbulkan kecurigaan sehingga keluarganya membuat laporan polis kerana yakin anaknya dibunuh.
Lanjutan kejadian tersebut, Linda (sahabat Vina) dirasuk dan membongkarkan segala kebenaran yang menimpa Vina dan pasangannya pada ketika itu.
Filem ini bagaimanapun cuma ditayangkan di Indonesia dan masih belum menembusi pasaran Malaysia.
Meskipun begitu, banyak klip video dan sedutan babak daripada filem berkenaan dikongsi oleh penonton dan peminat filem tersebut di media sosial menyebabkan ia meraih perhatian ramai termasuk warganet Malaysia.