DENGAN adanya media sosial, kita ada budaya baru dalam berkomunikasi tak kiralah sama ada kita berkenan atau tidak dengan caranya. Contohnya budaya ‘spill the tea’ diambil daripada perkataan Inggeris ‘Spill Dirty’ yang mudah kita fahami sebagai dedahkan aib orang di media sosial.
Minggu lalu hangat apabila nama seorang pempengaruh, pengacara dan penghafaz al-Quran, Qawiy terpalit dengan kontroversi jenayah gangguan seksual.
Tuduhan itu dicetuskan oleh seorang pengguna media sosial selepas beberapa wanita tampil mendedahkan Qawiy pernah melakukan perkara tidak senonoh kepadanya. Dakwa wanita itu lagi, dia siap mempunyai bukti laporan polis. Malangnya, dokumen tersebut tidak pula dikongsikan kepada publik.
Warganet mula berpecah ada yang menyokong namun ada pula yang semakin skeptikal sehingga menyerang ruangan komen pempengaruh tersebut. Kes itu agak lama mencuri tumpuan warganet sehingga memaksa Qawiy membuat kenyataan menafikan perkara itu.
Ujarnya, segala tuduhan yang tular mengenai dirinya adalah fitnah. Dia juga mengakui terluka kerana dipanggil penunggang agama. Selepas kenyataan itu dikeluarkan, seorang wanita dengan akaun @atyka.j memuat naik sijil kahwin mendakwa dia dan Qawiy hampir berkahwin.
Namun, ibu kepada Qawiy tidak berkenan dengan wanita itu selepas sehari majlis merisik diadakan, menyebabkan hubungan mereka terputus. Nama Qawiy kembali calar. Bagaimanapun, pempengaruh islamik itu enggan mengangkat panggilan telefon ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Perginya orang baik
Minggu ini juga kita dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Nabil Zamanhuri yang menghembuskan nafas akibat kekejangan selesai solat Subuh. Kehilangannya naib juara program Mentor itu sangat dirasai oleh penggiat seni memandangkan Nabil banyak terlibat kerja-kerja belakang tabir.
Penyanyi, Alif Satar menyifatkan Nabil seorang yang menginspirasikan dan antara anak seni yang menonjol pada awal pembabitan mereka sebagai artis. Ucapan takziah juga berlegar di media sosial dan kebaikan Nabil disebarkan oleh artis seperti Shila Amzah, Nabila Huda, Sharifah Amani dan Redza Minhat.
Adik kepada arwah yang juga pempengaruh, Madiha, menyifatkan abangnya seorang yang terlalu kuat bekerja dan jarang mendapatkan rehat yang cukup. Allahyarham bagaimanapun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukat Perdana, Hulu Klang pada Ahad.
Hancur kerana dadah
Tak ada angin dan ribut, tiba-tiba Malaysia dikejutkan dengan berita penyanyi, Cliff Umar, ditahan dan mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin. Juara Gegar Vaganza musim ke-7 itu ditahan di Subang Jaya kerana memiliki heroin seberat 0.39 gram.
Cliff berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Namun begitu, peguam mewakili Cliff memohon rayuan jumlah lebih rendah memandangkan penyanyi itu perlu menanggung isteri dan empat orang anaknya.
Mengintai media sosial, rata-rata terkilan dengan tindakan Cliff apalagi selepas penyanyi itu mendapatkan wang tunai bernilai RM100,000 hasil kemenangannya di program pertandingan realiti televisyen itu.