SHAH ALAM: Juara program realiti, Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7), Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki heroin, Ahad lalu.
Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Bapa kepada empat orang anak itu didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada pukul 3.30 petang, 26 Mei lalu.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh menyebabkan penyanyi ini dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan
mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.
Peguam Sallehuddin Salam mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah.
“Anak guam saya bekerja sebagai pemain muzik dan pendapatan tidak menentu,” jelasnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan.